TAIPING: Kementerian Pengangkutan telah membuka Pemintaan Untuk Cadangan (RFP) bagi meneruskan projek Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh (iRide) berasaskan konsep pembangunan berasaskan transit (TOD).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata RFP tersebut, hanya akan dibuka kepada penyertaan awam dalam jangka masa dua hingga tiga bulan sahaja, sebelum dinilai selepas ia tertangguh sebelum ini.

Beliau berkata kerajaan memberi perhatian kepada projek iRide terbabit berikutan projek berkenaan dijangka menjana kesan pengganda positif terhadap ekonomi negeri Perak.

"Status terkini, MOT telah meletakkan keutamaan kepada projek ini dan sedang menunggu RFP sahaja, kerana ia telah tertangguh sejak dilancarkan pada Oktober 2019, kemudian berlaku peralihan tampuk pemerintahan negara selain pandemik COVID-19.

"Walaupun berlaku kelewatan, namun kerajaan secara dasarnya berhasrat untuk teruskan projek ini pada kadar segera dan perkembangan projek turut telah dimaklumkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, ketika saya mengadap baginda baru-baru ini, baginda sangat prihatin agar projek ini dapat diteruskan," katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu Loke merasmikan Pusat Komuniti Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taiping, yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak, serta Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh merangkap Ahli Parlimen Taiping.

Terdahulu pelan pembangunan iRide meliputi kawasan seluas 78 hektar di sekitar stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Ipoh, dilancarkan pada 10 Okt 2019.

Projek kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) itu, dijangka membangunkan kawasan seluas 27 hektar secara bersepadu dan diintegrasi dengan hab pengangkutan.

Pembangunan di kawasan itu dipecahkan mengikut segmen tertentu, merangkumi perumahan termasuk mampu milik, hotel, institusi pendidikan, komersial, kawasan hijau dan bercampur bagi memastikan pembangunan ini seimbang dan komprehensif.

Sementera itu, Loke berkata MOT bersama KTMB akan melancarkan semula operasi perkhidmatan khas tren ETS Ekspress KL-Ipoh di luar musim perayaan, dalam masa terdekat.

"Tren ekspres tersebut akan beroperasi di luar musim perayaan iaitu pada hari biasa setiap hari, dengan kekerapan perjalanan sekurang-kurangnya satu atau dua tren sehari.

"Pewujudan semula perkhidmatan ekspres itu akan membantu mereka yang sering berulang-alik dalam sehari antara dua bandar berkenaan, khususnya untuk memendekkan tempoh perjalanan daripada dua jam 40 minit kepada dua jam sahaja," katanya.

-- BERNAMA