KUALA LUMPUR: Seramai 150,597 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui 12 program yang dilaksanakan kerajaan menerusi inisiatif Pengekalan dan Penjanaan Pekerjaan di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan tersebut melebihi jumlah unjuran kumulatif setakat April 2021 dengan sasaran kerajaan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan bagi tahun ini.

"Usaha kerajaan meningkatkan pelaburan dalam negara telah berjaya mewujudkan 33,907 pekerjaan baharu dan 76 peratus daripadanya adalah dalam kategori mahir dan separuh mahir.

"Ini adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu hasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun 2021," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang diadakan secara maya, pada Jumaat.

Pagi ini saya telah mempengerusikan mesyuarat ketiga Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang diadakan secara persidangan...

Posted by Muhyiddin Yassin on Friday, 7 May 2021

Jelas Muhyidddin, mesyuarat turut memaklumkan bahawa bilangan orang bekerja sendiri (OBS) termasuk pekerja Gig yang mendapat perlindungan sosial daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)  meningkat kepada 142,000 orang pada tahun ini.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 71,000 pada  2019 dan 81,000 orang (2020).

Selain itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut mengambil maklum kesukaran golongan orang kurang upaya (OKU) dan rentan dalam mendapatkan akses kepada peluang penjanaan pendapatan.

"Sehubungan itu, NEC telah meminta Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengkaji langkah-langkah termasuk peruntukan perundangan bagi memastikan inisiatif dapat dijalankan dengan kadar yang segera.

"Program KerjayaUP yang dilancarkan pada 12 April lalu, khusus untuk golongan miskin dan miskin tegar bandar berjaya membantu 489 pemohon mendapat pekerjaan serta-merta.

"Sehubungan itu Majlis bersetuju memperluaskan program ini secara lebih agresif dengan sasaran yang lebih meluas bagi membantu sosioekonomi golongan ini untuk keluar daripada belenggu kemiskinan," tambah Muhyiddin.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata tiga lagi ahli tetap dilantik sebagai anggota NEC yang baharu.

Mereka masing-masing  Ahli Lembaga Pengarah Maybank Investment Bank Bhd, Datuk Seri Sharifah Sofianny Syed Hussain; Presiden Persatuan Wanita Bumiputra Dalam Perniagaan Profesion Malaysia (PENIAGAWATI); Datuk Azlin Ahmad Shaharbi; serta Pengasas bersama GoGet, Francesca Chia.