KUALA LUMPUR:Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini melancarkan Pelan Strategik Organisasi KKR 2021-2025 berteraskan empat tonggak yang bertumpukan kepada industri pembinaan dalam pemulihan semula ekonomi Malaysia ke arah merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata teras pertama ialah memperkukuh pembangunan infrastruktur dan keterangkuman wilayah, manakala kedua, memperluas penggunaan teknologi digital dalam pembangunan dan penyenggaraan infrastruktur.

"Teras ketiga memperkasakan kapasiti dan kebolehan serta daya saing industri pembinaan manakala keempat memantapkan tadbir urus organisasi untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

"Pelan ini telah mengambil kira analisis persekitaran dan cabaran isu semasa serta turut menekankan kerjasama strategik kementerian bersama institusi awam dan swasta iaitu bertujuan melahirkan personel industri pembinaan warga tempatan untuk mengisi peluang pekerjaan berkualiti," katanya bersempena Majlis Amanat 2021 dan pelancaran Pelan Strategik Organisasi KKR 2021-2025.

Beliau berkata pelan strategik itu juga mengambil kira keupayaan menjayakan Rancangan Malaysia ke-12, kesediaan meneroka Revolusi Industri 4.0 dan dasar-dasar semasa yang akan perkenalkan.

Dalam pada itu, Fadillah berkata tuntutan pelanggan yang semakin meningkat dan mencabar memerlukan perancangan strategik yang holistik dan responsif, perlu disampaikan dengan segera selaras dengan norma baharu.

Kaedah penyampaian perkhidmatan kepada rakyat oleh kementerian dan agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan tiga Lembaga Profesional akan ditransformasikan melalui penggunaan teknologi digital bagi memastikan projek dirancang memberikan manfaat optimum kepada rakyat.

Teras strategik ini disokong dengan pelan tindakan, pemantauan dan penilaian supaya sentiasa selari dengan aspirasi kerajaan.

"Kementerian akan terus memainkan peranan sebagai pemacu dalam membangunkan kemudahan infrastruktur serta ejen perubahan dalam industri pembinaan negara. Pelan Strategik ini menjadi dokumen penting untuk menunjukkan komitmen KKR serta agensi," katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata berikutan pandemik COVID-19, industri pembinaan mengalami kerugian RM11.6 bilion sepanjang tempoh tersebut dan pelbagai masalah timbul akibat penutupan tapak bina seperti kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE), kementerian melaksanakan 1,056 projek bernilai RM410.6 juta di bawah PRE 1.0 dan PRE Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada tahun lepas.

"Projek-projek kerajaan telah disusun semula bahkan banyak projek-projek baharu diluluskan bagi tujuan itu. Terkini, dengan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dapat menambah baik inisiatif sedia ada," katanya.

Perkembangan positif mula dilihat pada suku keempat tahun lepas iaitu setakat Disember 2020, sebanyak 98 peratus tapak bina di seluruh negara beroperasi semula sepenuhnya meskipun nilai projek pembinaan menyusut kepada RM61.4 bilion.

Antara pencapaian kementerian tahun lepas ialah penyiapan laluan Projek Central Spine Road Pakej 3 menghubungkan Kampung Relong, Lipis, Pahang dan Gua Musang, Kelantan khusus untuk kemudahan rakyat meskipun dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Selain itu, katanya sebanyak 46 lokasi kerap berlaku kemalangan di seluruh negara telah dirawat dan dibuat penambahbaikan sepanjang tahun lepas.

Mengenai isu lubang di atas jalan atau 'potholes', Fadillah berkata kementerian memperkenalkan pelan tindakan baharu iaitu Ke Arah Penyenggaraan 'Potholes' Lebih Cekap dalam pelan strategik KKR tersebut.

"Pada tahun lepas sahaja sebanyak 168,000 'potholes' telah ditampal oleh konsesi. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 'pothole' yang ditampal dalam tempoh lima tahun bermula 2016 ialah sebanyak 880,049," katanya.

Sementara itu Fadillah berkata menerusi peruntukan RM7.348 bilion di bawah Belanjawan 2021, sebanyak RM1.26 bilion ialah belanja mengurus manakala baki RM6.088 bilion lagi untuk belanja pembangunan.

"Sebanyak 52 projek baharu yang berimpak tinggi dirancang dilaksanakan pada tahun ini khususnya projek-projek lebuh raya bagi melengkapkan jaringan jalan raya di negara kita.

"Projek berimpak tinggi ini juga dilihat sebagai salah satu prospek pemulihan ekonomi yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2021," katanya.

-- BERNAMA