Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri Nicole Tan berkata ia termasuk menerusi pembukaan gedung pakaian baharu daripada jenama terkemuka Uniqlo di Seremban 2 di sini sekali gus berupaya meningkatkan lagi ekonomi negeri.
"Jadi bukan sahaja produk pelancongan sedia ada dapat tarik pelancong tetapi menerusi pelancongan beli-belah. Selepas ini, rakyat mempunyai pilihan tidak semestinya kena pergi ke Kuala Lumpur untuk beli-belah.
"Di Seremban juga banyak pusat beli-belah besar setanding dengan Kuala Lumpur, ia juga dapat menjimatkan masa dan tenaga sekali gus merancakkan industri pelancongan di Negeri Sembilan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Uniqlo dengan konsep gedung di pinggir jalan pertama di negeri ini pada Jumaat.
Turut hadir Ketua Pegawai Kewangan Uniqlo Malaysia Tomohisa Kikuchi.
Tan berkata Negeri Sembilan merekodkan kedatangan 5.5 juta pelancong pada 2021 dan meningkat ketara kepada 20 juta tahun lepas selain menjangkakan jumlahnya akan terus bertambah tahun hadapan.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus berusaha memperkenalkan Negeri Sembilan dengan lebih meluas agar memberi impak positif terhadap ekonomi masyarakat setempat.
Pembukaan cawangan Uniqlo keenam itu dilaksanakan bersempena sambutan ulang tahun ke-15 Uniqlo di Malaysia dengan keluasan 12,000 kaki persegi dan direka khas untuk memberikan pengalaman beli-belah yang selesa serta inklusif.
-- BERNAMA
