KUALA LUMPUR: Usaha pemerkasaan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) di Sarawak akan diperhebatkan lagi menerusi program pengkomersialan dan pembangunan kraf, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut Ahli Parlimen Batang Sadong itu, kekayaan setiap daerah di Sarawak dalam penghasilan produk kraf mesti dimanfaatkan kerana pelancong kini berkehendakkan pengalaman pelancongan yang berbeza bukan sekadar mahu melihat keindahan flora dan fauna.

Berdasarkan potensi besar yang ada pada produk tersebut, beliau percaya masyarakat berupaya menjana pendapatan lumayan memandangkan dari tempoh 1 Jan hingga 30 Sept tahun ini, terdapat seramai 1,109 usahawan kraf dan 783 tenaga kerja di Sarawak berjaya menjana hasil jualan kraf melebihi RM11.7 juta.

"Ini menunjukkan kita (penduduk) banyak mendapat manfaat. Jadi dalam hal ini, MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) menerusi agensi seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak akan giat menaikkan (memperkasa) pelancongan berasaskan komuniti yang merupakan salah satu segmen di bawah ekopelancongan," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Selain itu, bagi terus mempromosikan Sarawak di peta dunia, Nancy berkata MOTAC merancang memperkenalkan keunikan negeri tersebut di Expo Dubai 2020 yang telah bermula Oktober lepas.

"Kita akan mengisi slot utama Minggu ke-13 dalam expo tersebut bagi mempromosi dan mencapai sasaran menjadikan Sarawak sebagai destinasi pengalaman percutian berorientasikan ekopelancongan di samping untuk penganjuran persidangan mesyuarat dan pameran antarabangsa yang ketika ini telah meninggalkan impak ekonomi RM457 juta kepada negeri bermula 2010 hingga tahun lepas," katanya.

Sebagai melengkapi lagi usaha itu, MOTAC katanya turut telah mengadakan Mesyuarat Destination Coordination Group bersama Kerajaan Sarawak bagi menyelaras dan menggerakkan pembangunan sembilan kluster ekopelancongan yang telah dikenal pasti.

Kluster itu antaranya melibatkan kawasan Lundu-Sematan-Telok Melano-Tanjung Datu; Bako-Santubong-Kubah-Semenggoh-Bau-Padawan; Sri-Aman-Batang Ai-Ulu Sungai Menyang-Maludam; Sibu-Kapit-Tunoh-Baleh-Palagus; serta Mukah-Daro-Pulau Bruit-Tanjung Manis.

"Pembangunan secara kluster ini bagi memastikan lokasi ekopelancongan dapat dibangunkan secara lestari menerusi aktiviti CBT selain membolehkan Program Pengalaman Homestay (inap desa) diperkembangkan secara holistik.

"Pada masa ini terdapat seramai 3,397 pengusaha inap desa di Sarawak yang berdaftar dengan kementerian dari 50 kampung dengan yang paling aktif ialah Homestay Bario Highlands di Miri," katanya.

Nancy berkata bagi aspek kemahiran dan latihan pula, pihaknya juga bersedia menawarkan program upskilling dan reskilling pelancongan kepada penduduk negeri agar mereka mampu bersaing secara signifikan di peringkat antarabangsa.

Katanya ini penting bagi menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030, selain mengambil kira faktor akan wujudnya lebih banyak peluang ekonomi berikutan langkah Indonesia menjadikan Kalimantan Timur yang berdekatan dengan negeri itu sebagai ibu negara, dalam masa terdekat.

"Bila saya sebut upskilling dan reskilling ini mungkin seperti usaha melatih anak-anak muda kita untuk mempelajari pelbagai bahasa, cara untuk menyambut tetamu dan sebagainya.

"Kalau di kawasan saya (Parlimen Batang Sadong) contohnya kita ada pelbagai etnik, jadi perlulah juga untuk kita belajar tentang adat mereka agar ini dapat dijadikan sebagai produk pelancongan," katanya.

-- BERNAMA