Pelantikan sebagai ahli Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) adalah satu tanggungjawab yang amat berat.

Itu yang dirasakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi Dan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan terutamanya dalam keadaan ketika ini apabila pelbagai persoalan dari pelbagai pihak mengenai salah laku yang kemungkinan berlaku.

Wan Saiful turut berpendapat JKNMPP adalah satu langkah yang baik dalam mengenal pasti kesalahan yang telah dilakukan tidak berulang lagi di masa hadapan.

"Saya rasa ini tanggungjawab yang amat berat, terutama sekali dalam keadaan ketika ini di mana banyak persoalan yang dilontarkan oleh pelbagai pihak mengenai kemungkinan salah laku dan pelbagai bentuk kesilapan yang berlaku.

"Saya rasa jawatankuasa ini adalah satu jawatankuasa yang melihat ke hadapan dalam mengenal pasti sebarang kesalahan yang dibuat sebelum ini tidak dilakukan lagi di masa akan datang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Menurut Wan Saiful, selepas pelantikan ini, Presiden Intitut Integriti Malaysia (IIM) Dr Anis Yusal dijangka membentangkan pelan tindakan di mesyuarat pertama JKNMPP nanti.

JKNMPP telah memuktamadkan keahlian dan menerima pakai terma-terma rujukannya selepas bermesyuarat pada Jumaat.

Peranan utama JKNMPP adalah bagi menyediakan proses konsultatif untuk ahli-ahli masyarakat sivil membincangkan cara-cara meningkatkan pematuhan ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam kalangan parti-parti politik dan ahli politik dalam pembiayaan politik.

Dalam satu kenyataan rasmi oleh pengerusinya Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, sebanyak 18 ahli telah dilantik untuk menganggotai JKNMPP temasuk Datuk Seri Idris Jala sebagai Timbalan Pengerusi.

Pada 14 Ogos, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan JKNMPP bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.

Najib berkata, pelan tersebut penting dalam menangani isu pembiayaan politik, khususnya pada masa ini tidak terdapat peraturan mengenai pembiayaan politik yang boleh menentukan sesuatu itu salah atau tidak meskipun terdapat beberapa peraturan mengenai perbelanjaan pilihan raya.