MALAYSIA
Pelantikan Ketua Hakim Negara ikut saluran JAC, Perlembagaan - Azalina

Menurut Azalina perkara tersebut dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa taklimat bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). - Gambar fail
PUTRAJAYA: Proses pelantikan Ketua Hakim Negara dijalankan mengikut saluran sewajarnya iaitu melalui Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan mematuhi Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Ringkasan AI
- Pelantikan Ketua Hakim Negara dijalankan mengikut saluran sah melalui Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, dengan kuasa pelantikan terletak pada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
- Menteri Undang-Undang Azalina Othman menegaskan bahawa proses pelantikan berjalan mengikut peruntukan perlembagaan.
- Cadangan untuk meminda Akta JAC 2009 masih dalam peringkat awal dan akan dibincang secara teliti dengan pakar perlembagaan, peguam serta Majlis Peguam bagi memastikan ketelusan dan kejelasan dalam sistem pelantikan kehakiman.
“Saya tidak terlibat dalam proses tersebut, tetapi daripada mesyuarat politik dengan BN dan PH yang saya hadiri, jelas tiada apa-apa yang khusus... jadi, semuanya selesai antara JAC dan Perkara 122B,” katanya.
Azalina berkata demikian semasa disoal pemberita berhubung dakwaan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, yang akan mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara.
“Saya rasa setakat ini, kenyataan PM, tidak... saya rasa tidak. Sudah tentu keputusan itu bergantung kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja berdasarkan Perkara 122B,” katanya selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti di Putrajaya pada Selasa.
Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri.
Ditanya mengenai cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009, Azalina berkata perkara tersebut belum dimuktamadkan dan memerlukan pandangan dari pelbagai pihak.
“Tidak, tidak lagi, Kita mesti mendapatkan pandangan daripada semua pakar, kita akan dapatkan pandangan pakar Perlembagaan, peguam dan profesor.
“Kita akan adakan perbincangan yang teliti. Saya juga akan jemput Majlis Peguam pada peringkat awal secara perbandingan untuk dapatkan pandangan mereka, dan saya akan bawa perkara ini ke Kabinet untuk tentukan hala tuju,” katanya.
Tambah beliau, meskipun JAC telah berkuat kuasa sejak 2009 tanpa sebarang isu sebelum ini, kerajaan melihat keperluan untuk meneliti semula sama ada kekeliruan yang timbul berpunca daripada proses atau penggunaan istilah dalam undang-undang tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami