MALAYSIA
Pelantikan Ketua Hakim Negara: PM tegas prosedur sah, minta tamat fitnah

Anwar ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Istiqlal, Presint 14, di sini hari ini. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pelantikan Ketua Hakim Negara baharu, Datuk Wan Ahmad Farid dilakukan mengikut prosedur sah dan tiada campur tangan luar.
Ringkasan AI
- Pelantikan sah dan bebas campur tangan: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara dibuat mengikut Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, melalui cadangan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas rundingan dengan Majlis Raja-Raja.
- Tiada pengaruh politik atau gangguan kehakiman: Anwar menolak dakwaan wujud campur tangan politik, menjelaskan tiada hakim dibuang, dihantar ke tribunal, atau keputusan mahkamah diganggu sepanjang proses pelantikan.
- Harapan kepada kepimpinan baharu: Anwar mengucapkan tahniah kepada Wan Ahmad Farid dan berharap beliau meneruskan legasi kebebasan kehakiman, sambil menyeru semua pihak agar menghentikan tuduhan melulu dan menghormati proses pelantikan.
“Buktinya cadangan dikemukakan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, kemudian dibawa kepada Perdana Menteri, seterusnya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Akhir sekali dirujuk kepada Majlis Raja-Raja serta Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” ujar Anwar ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Istiqlal, Presint 14, di sini.
Tambah Anwar, bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh tidak pernah diusulkan sebagai calon Ketua Hakim Negara kerana faktor usia dan tempoh perkhidmatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan masih lama.
Selain itu, tiada hakim yang dibuang atau dihantar ke tribunal, atau sebarang keputusan mahkamah diganggu dalam proses penghakiman atau arahan diberikan kepada hakim tertentu.
“Penjelasan ini diharap dapat menamatkan fitnah dan spekulasi yang berlarutan selama berminggu-minggu sebelum ini.
“Saya gesa semua pihak untuk berhenti membuat tuduhan melulu tanpa fakta, harus wujud kesabaran dan kebijaksanaan dalam menangani isu kehakiman tanpa dipengaruhi permusuhan politik,” kata Anwar.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Wan Ahmad Farid dan menzahirkan pengharapan agar dapat menjalankan tugas dengan baik.
Sebelum ini, Datuk Wan Ahmad Farid yang merupakan Hakim Mahkamah Rayuan diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan baharu pada malam Khamis bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib.
Dalam kenyataan sama, turut dimaklumkan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, menggantikan penyandang yang bakal menamatkan perkhidmatan.
Majlis angkat sumpah serta penyerahan watikah pelantikan dijadualkan berlangsung pada 28 Julai di Istana Negara dengan disaksikan oleh Sultan Ibrahim.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami