MALAYSIA
Pelantikan Leftenan Jeneral: Pemimpin Pas perlekeh kepercayaan ATM, Yang di-Pertuan Agong - Steven Sim

Sim yang juga Menteri Sumber Manusia menegaskan, kenyataan berbaur perkauman, menghasut serta derhaka harus dikenakan tindakan undang-undang yang tegas. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim membidas Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad, yang mempertikai pelantikan Datuk Johny Lim Kean Seng sebagai Leftenan Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ringkasan AI
- Steven Sim membidas kenyataan Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad, yang mempertikai pelantikan Datuk Johny Lim sebagai Leftenan Jeneral ATM, dan menyifatkannya sebagai penghinaan terhadap ATM serta Yang di-Pertuan Agong.
- Sim menegaskan kenyataan itu memperlekehkan pengorbanan pegawai bukan Melayu dalam ATM, termasuk tokoh terdahulu seperti Laksamana Muda Thanabalasingam dan Brigadier Jeneral Goh Seng Toh.
- Beliau menggesa tindakan tegas terhadap kenyataan berbaur perkauman dan menghasut, sebagai amaran agar ahli politik tidak mempermainkan isu sensitiviti kaum dalam konteks ketenteraan negara.
"Apakah pengorbanan Leftenan Jeneral ini selama 41 tahun dalam perkhidmatan itu masih belum cukup "layak" pada beliau?," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook pada Rabu.
Sim menambah, kenyataan sedemikian seolah-olah turut memperlekehkan legasi pegawai bukan Melayu terdahulu yang pernah menyandang jawatan tinggi dalam ATM, seperti Laksamana Muda Tan Sri Datuk Seri (Dr.) K. Thanabalasingam, yang merupakan anak tempatan pertama dilantik Ketua Turus Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Tidak pernahkah Zaharuddin mendengar nama Brigadier Jeneral Datuk Sri Goh Seng Toh dan ramai lagi putera watan bukan Melayu yang memegang jawatan tinggi ATM?," soalnya lagi.
Mengulas lanjut, Sim yang juga Menteri Sumber Manusia menegaskan, kenyataan berbaur perkauman, menghasut serta derhaka harus dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.
Katanya, ia sebagai pengajaran kepada orang politik, tanpa mengira parti supaya tidak sesekali bermain dengan isu perkauman.
"Sedih kerana Leftenan Jeneral Johny Lim dihina.
"Ini kerana pemimpin Pas tersebut sebenarnya telah menghina ribuan anak Malaysia lain yang setiap hari menyarung celoreng, rela berjauhan dengan keluarga, tak kira panas dan hujan... tidur di hutan dan sempadan demi pengorbanan buat tanah air ini," katanya lagi.
Johnny Lim melakar sejarah apabila menjadi anak berbangsa Cina pertama yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam ATM.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami