Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin pelantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baharu tidak akan menjejaskan persetujuan sedia ada yang dicapai dalam hubungan ketenteraan Malaysia dengan negara itu.

Bagaimanapun jelasnya, Malaysia akan terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat mengenai dasar yang akan dibawa taikun hartanah itu.

"Itu kita kena tunggu dan lihat apa sebenarnya dasar mereka terhadap rantau kita, kita akan mengikuti secara dekat. Sebenarnya kita telah mengikutinya dari awal lagi," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Thai (GBC MALTHAI) Ke-53, di sini hari ini.

Beliau juga percaya institusi yang sudah ada di Amerika Syarikat tidak akan berubah sama ada di pihak tentera, atau komander Pasifik yang turut secara langsung melibatkan Malaysia.

"Malah, hubungan kita dengan PACOM memang rapat dan baharu sahaja saya ke sana bulan lepas, dan saya tengok kepimpinan institusi ini akan terus memimpin dan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa apa yang telah kita persetujui sebelum ini tidak akan berubah dengan kepimpinan baharu," katanya lagi.

Apa yang penting katanya, pihaknya akan sentiasa memantau rapat perkembangan susulan pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang baharu berkenaan.

"Cuma polisi-polisi dan juga penekanan terhadap Amerika Syarikat terhadap rantau kita, itu kita kena tunggu (dasar) Presiden yang dipilih, Donald Trump, yang baharu diberikan mandat untuk memimpin Amerika Syarikat," ujarnya.

Trump, calon parti Republikan dan ahli perniagaan yang berjaya menewaskan lawannya dari Parti Demokrat Hillary Rodham Clinton dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat.

Beliau menggantikan Presiden ke-44, Barack Obama.