MALAYSIA
Pelantikan Wan Suraya sebagai Ketua Audit Negara sah di sisi Perlembagaan - Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan ketika sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Pelantikan Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ketua Audit Negara adalah sah dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, berkata perkara itu telah disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Mesyuarat Kabinet hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Memang dari segi Perlembagaan tidak timbul sebarang isu kerana ia menepati apa yang tertera dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"KSN turut menjelaskan bahawa beliau (Wan Suraya) telah berhenti menjadi seorang penjawat awam pada ketika beliau bersetuju untuk menjadi Ketua Audit Negara... maksudnya tidak timbul sebarang isu bahawa beliau adalah seorang penjawat awam yang sedang berkhidmat," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat bagi penjelasan lanjut.
Baru-baru ini, beberapa pihak mendakwa jawatan Ketua Audit Negara yang kini disandang Wan Suraya adalah tidak sah kerana lantikan beliau tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mereka mendakwa jawatan itu sepatutnya disandang oleh individu yang sudah tidak lagi berada dalam perkhidmatan awam sama ada sudah bersara atau melepaskan jawatan.
Ini bagi memastikan Ketua Audit Negara dapat bertindak secara bebas tanpa terikat kepada mana-mana pegawai yang lebih tinggi daripada beliau dalam perkhidmatan awam.
Wan Suraya, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, dilantik sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa 13 Jun 2023.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami