KUALA LUMPUR: Pengumuman pelarasan tarif air yang diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) adalah suatu usaha yang mampu menjamin perkhidmatan air yang lebih baik di negara ini.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berpendapat pelarasan tarif yang sudah lama tertangguh, menjadikan kos ketidakcekapan pengurusan air di Semenanjung dan Labuan tinggi, dan akhirnya rakyat yang akan berdepan masalah.

Mengambil konsep mudah, beliau berpendapat kos perkhidmatan air atau yang tidak berkaitan semakin lama semakin tinggi.

Namun jika tarif tidak dinaikkan, ia bakal memberi kesan tidak langsung kepada penyelenggaraan paip yang usang serta perkara lain yang berkaitan.

“Proses kaedah penandaarasan digunakan setiap komponen kos, untuk bekalan air, penukaran paip, untuk kos perkhidmatan air dan juga kumbahan.

“Ia sudah dipersetujui pada 2009, mekanisme sepenuhnya sudah dibangunkan menjelang 2016, tetapi SPAN masih belum lakukan kaedah penandarasan.

“Konsep pelarasan tarif ialah, ialah bukan kenaikan tarif, tetapi pelarasan seperti ada syarikat yang banyak kos tidak cekap, kita boleh tanda aras, dan kos boleh kurang,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, menurutnya jika syarikat berkaitan mendapat keuntungan, semasa penetapan tarif, ia perlu dibayar balik kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang sudah memberi syarikat ini pinjaman sewaktu krisis air berlaku, yang menyumbang kepada tabung tarif.

“Dalam masa yang sama dalam penetapan tarif juga membenarkan keuntungan dalam satu digit.

“Bagi yang lebih hingga berbelas peratus, SPAN boleh salurkan balik kepada tarif, dan bayar balik pinjaman kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB),” tambahnya lagi.

Baginya inisiatif ini lebih komprehensif dan berjiwa rakyat, berbanding berjiwa keuntungan.

Ini kerana pelaksanaan yang tertangguh, dan tidak mengikut kadar pelarasan (benchmarking), ia akan meingkatkan kos yang tidak cekap.

Terdahulu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

Pelarasan tarif air domestik itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.