KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu yakin pelarasan tarif air baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 1 Feb ini, mampu menyelesaikan pelbagai masalah bekalan air dihadapi negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Hanafiah Mat berkata pihaknya dan operator bekalan air negeri iaitu Syarikat Air Terengganu (SATU), akan memanfaatkan kenaikan tersebut untuk kerja penggantian paip lama, selain membangunkan beberapa loji rawatan air yang baharu.

"Insya-Allah perkhidmatan air di Terengganu akan bertambah baik selepas ini dan saya kira kenaikan ini juga tidak terlalu membebankan pengguna domestik negeri ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Terbaharu, pada 1 Jan lepas, SATU memaklumkan 2,670 akaun pengguna di 11 kampung sekitar Kuala Besut, mengalami masalah bekalan air tidak berjadual yang dijangka berlarutan selama 21 hari susulan gangguan bekalan membabitkan Tangki Air Bukit Keluang, akibat kebocoran paip bersaiz 600 milimeter (mm) di dasar Sungai Besut.

Hasil semakan di portal SATU juga mendapati, sebanyak 47 notis gangguan bekalan air dikeluarkan syarikat air itu untuk bulan ini sahaja, setakat semalam.

Dalam pada itu, Hanafiah berkata walaupun SATU tidak pernah membuat permohonan kadar tarif baharu kepada pihak kementerian atau Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), namun operator yang dikorporatkan pada 1999 itu pernah berhasrat mengemukakan permohonan pelarasan kadar tarif yang holistik, selepas 25 tahun.

"Ia bertujuan untuk menampung peningkatan kos operasi dan kos pembangunan modal yang tinggi, bagi memastikan keselesaan pengguna dapat ditambah baik.

"SATU membelanjakan sejumlah RM180 juta setahun bagi kos operasi untuk mengabstrak, memproses serta membekalkan air terawat kepada pengguna di Terengganu, dengan kerja penyelenggaraan membabitkan pembaikan paip pecah dan bocor serta kerja menaik taraf sistem bekalan air," katanya.

Bilangan akaun pengguna air yang aktif di Terengganu sehingga November 2023 ialah 341,546, di mana 83 peratus merupakan pengguna domestik.

Menerusi Mekanisme Penetapan Tarif, SPAN semalam mengumumkan pelarasan tarif air baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Kenaikan yang disifatkan SPAN sebagai tidak lagi boleh ditangguhkan itu, bertujuan agar tidak menjejaskan kemampanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang.

Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Akmal Nasrullah Mohd Nasir hari ini juga dilaporkan berkata, lesen operator di bawah kawal selia SPAN boleh ditarik balik jika gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI), dalam menyediakan perkhidmatan pembekalan air seperti ditetapkan.

Beliau berkata perkara itu susulan pendapatan operator dijangka meningkat selaras pelarasan tarif air itu dan hasilnya perlu digunakan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, selain menyelesaikan masalah utama bekalan air di negeri masing-masing.

-- BERNAMA