KUALA LUMPUR: Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj atau RM708 ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan perkara itu berkata, hampir semua pengguna domestik dan pengguna bukan domestik voltan rendah tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik terbaharu ini.

"Ini bermakna hanya pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj atau RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

"Ini merupakan 99 peratus daripada pengguna domestik di Semenanjung. 

"Baki 1 peratus ini bukan golongan T20, tapi mereka yang menggunakan elektrik dengan penggunaan tinggi," kata Nik Nazmi pada sidang media pengumuman Pelarasan Tarif Elektrik Di Bawah Mekanisme Imbalance Cost Pass Through (ICPT) Di Semenanjung Bagi Tempoh 1 Julai Hingga 31 Disember 2023, di sini, pada Jumaat. 

Kata Nik Nazmi lagi, kerajaan dalam pada itu bersetuju untuk menampung kos subsidi elektrik sebanyak RM5.2 bilion sempena pelarasan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh tersebut.

Sementara itu, beliau memberitahu, pengguna bukan domestik voltan tinggi (HV) dan sederhana (MV) serta kategori baharu utiliti air dan pembetungan akan menikmati penurunan.

"Ini ekoran purata harga bahan api menurun sedikit dari AS$224 (RM1.05 juta) per metrik tan (Julai-Disember 2022) kepada AS$173.50 (RM811.37) per metrik tan (Januari-Jun 2023).

"Namun purata harga arang batu masih lagi tinggi dan melebihi unjuran kos bahan api yang ditetapkan dalam tempoh RP3 iaitu USD79 (RM369.44) per metrik tan," katanya. 

Beliau memberitahu, pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik di mana surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

"Dalam erti kata yang lain, perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil, petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik.

Katanya lagi, ia selaras hasrat kerajaan menerusi Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya subsidi elektrik dilaksana secara bersasar bermula Julai ini.

"Dianggarkan seramai 83,000 pengguna iaitu satu peratus pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum sebanyak RM187 (25 peratus).

"Walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori ini, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya.

"Pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, pelarasan baharu ini mengambil kira penurunan sedikit purata harga bahan api dari AS$224 (RM1,047) per metrik tan (Julai hingga Disember 2022) kepada AS$173.50 (RM811).

Selain itu, Nik Nazmi berkata, kategori baharu pengguna bukan domestik iaitu operator air dan pembetungan di negeri-negeri akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 3.7 sen/kWj.

"Ini bermakna operator air di bawah kerajaan negeri akan menikmati surcaj yang lebih rendah untuk tempoh Julai hingga Disember 2023.

"Keputusan ini adalah selaras dengan usaha kerajaan bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan operator air untuk menyediakan air terawat dan bersih kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata, pengguna bukan domestik iaitu pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) daripada kalangan industri dan komersial akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj.

"Ini bermaksud, pengguna bukan domestik MV dan HV ini akan menikmati penurunan bil elektrik di antara 28 hingga 35 peratus sebulan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata, kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat Program Net Energy Metering (NEM) dan Program Self-Consumption for Solar PV Installation (SelCo) yang akan berkuat kuasa mulai 15 Julai ini bagi menggalakkan lagi pemasangan sistem solar PV terutamanya pada struktur bumbung premis bangunan.

"Antaranya had kapasiti setiap rumah bagi permohonan NEM Rakyat dilonggarkan, berbanding had 4kW (kilowatt) untuk pemasangan satu fasa dan 10kW untuk pemasangan tiga fasa.

"Pengguna boleh melakukan pemasangan sistem solar berdasarkan kriteria teknikal yang ditetapkan iaitu had kapasiti sistem solar PV yang dibenarkan di bawah Program NEM NOVA dan Program SelCo ditingkatkan daripada 75 kepada 85 peratus.