Keputusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memansuhkan harga siling bagi tambang bas sekolah bermula Januari tahun depan, dengan memberi kuasa 'rundingan' kepada ibu bapa dan pengusaha bas, mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Lotfi Ismail, seorang suri rumah, berkata langkah tersebut adalah tidak munasabah dan akan memberi peluang kepada pengusaha bas untuk meningkatkan harga tambang bas.

"Tambang bas sudah cukup mahal pada masa ini. Saya membayar RM45 untuk tambang bas anak saya dan jarak antara sekolah anak saya dan rumah adalah kurang daripada satu kilometer.

"Memberi kuasa rundingan kepada ibu bapa dan pengusaha bas adalah satu langkah yang baik, tetapi bagaimana keberkesanannya adalah cerita yang lain. Ini adalah kerana, sesetengah pengendali bas mungkin tidak bersetuju dengan ibu bapa dan ini akan menimbulkan masalah.

"Akhirnya, ibu bapa tidak mempunyai pilihan tetapi untuk bergantung dan memberi kepercayaan pengusaha bas untuk menghantar dan mengembalikan anak-anak mereka dengan selamat," katanya kepada Astro AWANI.

Sujenthiran Rajagobal berkata jika langkah SPAD ini akan memberi kesan kepada peningkatan harga tambang bas, ia akan menjadi beban kepada ibu bapa.

"Ia akan menjadi sukar untuk ibu bapa yang mempunyai ramai anak. Saya mempunyai tiga orang anak dan saya perlu membayar RM80 bagi setiap tambang bas mereka. Jika mereka menaikkan tambang bas walaupun dengan RM20, saya akan membayar RM300 hanya untuk tambang bas,” kata beliau.

Sementara itu, Tamilarasan Karapiah dari Ampang berpendapat, pemansuhan harga siling dan peningkatan harga tambang bas boleh berlaku jika peningkatan itu selaras dengan kenaikan harga bahan api.

"Walau bagaimanapun, jika ia sekadar bertujuan untuk meningkatkan keuntungan harga tambang bas, ianya tidak betul.

"Sebuah van sekolah mempunyai struktur kos yang berbeza jika dibanding dengan sebuah bas sekolah, jadi walaupun kuasa pasaran perlu diberi keutamaan, tanggungjawab perlu dititikberatkan bagi pihak penyedia perkhidmatan," kata Tamilarasan yang juga seorang pengurus kanan kewangan kumpulan.

Semalam, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata langkah ini membolehkan ibu bapa, sekolah-sekolah dan pengusaha bas bagi menentukan sendiri harga tambang bas yang dirasakan sesuai.

"Kami (SPAD) sebagai pemerhati akan memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan mengenakan harga yang berlebihan.

"Jika ini berlaku, tindakan untuk membatalkan lesen operasi boleh dilakukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat."

Beliau berharap 15,000 pengusaha bas sekolah yang berlesen di seluruh negara mematuhi undang-undang tidak akan menjadikan peningkatan harga tambang sebagai isu lagi.