KUALA LUMPUR: Sebarang isu berhubung pelesenan atau pengecualian daripada pelesenan penjualan minimum keras secara runcit di premis adalah tertakluk kepada kuasa Kerajaan Negeri sepenuhnya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata dasar sedia ada menggariskan bahawa penjualan minimum keras secara runcit di premis perlu dilesenkan di bawah Akta Eksais 1976.

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata pelesenan penjualan minum keras adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pelesenan yang dilantik melalui perwakilan kuasa Menteri Kewangan kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri melalui perintah yang diwartakan pada tahun 1977.

"Oleh itu, sebarang pelesenan penjualan minum keras perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Pelesenan, selaras dengan Seksyen 35, Akta Eksais 1976. Setakat ini, tiada pindaan telah dibuat bagi perwakilan kuasa tersebut, di mana Kerajaan Negeri diberi kuasa untuk membuat keputusan berkenaan lesen penjualan minuman keras.

"Saya akur bahawa baru-baru ini timbul pelbagai kekeliruan dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan lesen penjualan minuman keras diperingkat negeri.

"Saya ingin memberi jaminan sekali lagi bahawa perwakilan kuasa melalui perintah yang diwartakan pada tahun 1977 masih kekal tanpa sebarang perubahan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Tony Pua Kiam Wee (PH-Damansara) yang ingin tahu rasional perintah baru Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tahun depan yang mewajibkan kedai kopi dan restoran memohon lesen arak untuk menjual bir/stout kepada bukan Islam.

Justeru, beliau telah mengarahkan mengarahkan JKDM mengambil tindakan segera dan mengemas kini segala dokumen perintah atau garis panduan bagi memastikan kekeliruan tersebut tidak berulang.

Sementara itu, Tengku Zafrul memaklumkan JKDM merekodkan sebanyak 2,518 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak sah bernilai RM41.43 juta dengan jumlah kehilangan cukai RM281.69 juta sehingga September lalu.

Bagi tahun 2020, jumlah kes rampasan adalah sebanyak 2,842 kes yang keseluruhannya bernilai RM97.34 juta melibatkan nilai kehilangan cukai RM707.14 juta.