Pada Sabtu ini bersamaan 14 September 2013, satu lagi dasar baru akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dasar baru itu bakal memberi fokus kepada tiga perkara utama iaitu pembangunan modal insan, pemilikan ekuiti dan pemilikan hartanah oleh Bumiputera.

Dasar bagi membantu golongan Bumiputera telah dilaksakan sejak tahun 1970 lagi melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Dua strategi utama dalam DEB adalah mengurangkan kemiskinan tegar tanpa mengira bangsa melalui kenaikan taraf pendapatan dan memperbanyakkan peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia, serta menyusun semula masyarakat bagi memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi agar mengurangkan dan seterusnya menghapuskan identifikasi kaum dengan fungsi ekonomi.

Najib dalam satu sesi temubual dengan Bloomberg pada Oktober 2008 telah berpendapat bahawa perlu ada penghapusan secara berperingkat ke atas dasar tersebut.

Ketika itu, beliau berkata usaha ke arah liberalisasi unsur-unsur DEB sedan dilaksanakan secara beransur-ansur sehingga golongan Bumiputera sudah mempunyai keyakinan untuk bersaing, dan berjaya di peringkat global dan domestik.

Peruntukan-peruntukan yang mencerminkan semangat DEB seperti kuota termasuk syarat 30 peratus ekuiti Melayu dan bumiputera dalam syarikat senaraian awam dan pertimbangan tertentu kerajaan akan terus dikekalkan bagi mencapai tujuan keseimbangan pembahagian kekayaan negara.

Menurutnya lagi keperluan serta masalah setiap kaum di Malaysia perlu ditangani dengan serius.

Menyentuh tentang dasar baru yang diumumkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata ia adalah bagi membantu golongan Bumiputera mendapat peluang yang saksama dalam ekonomi negara supaya penglibatan mereka lebih tinggi dan dapat meningkatkan pemilikan hartanah dan sebagainya.

Katanya meskipun telah ada peningkatan dari segi pemilikan hartanah dan ekuiti, namun ia perlu ditingkatkan lagi kerana ia masih rendah.

Jelas Abdul Wahid, inisiatif terbaru itu secara amnya memperkasakan ekonomi melayu dan bumiputera yang turut merangkumi penyertaan mereka dalam peringkat pengurusan di sektor swasta.

Ini juga merupakan kali pertama Najib mengumumkan polisi untuk Bumiputera sejak menjadi Perdana Menteri.