KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 [A1695] akan dilaksanakan mulai esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata penguatkuasaan Akta A1695 membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memberikan peluang kedua kepada individu bankrap bagi meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan seterusnya dapat kembali menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Penguatkuasaan Akta A1695 ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 10 Mac lepas, Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan pindaan kepada Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] yang merupakan hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia.

Pindaan utama melibatkan penambahbaikan peruntukan pelepasan bankrap dengan Seksyen 33C Akta 360 dipinda bagi membantu pelepasan bankrap secara automatik dalam tempoh masa tiga hingga lima tahun dari tarikh individu bankrap menyerahkan pernyataan hal ehwalnya.

Azalina berkata selaras dengan objektif Dasar Peluang Kedua, pindaan kepada Seksyen 33C dan Subseksyen 33B(2A) Akta 360 dikuatkuasakan secara retrospektif kepada kes kebankrapan yang ditadbir sebelum permulaan kuat kuasa Akta A1695.

"Dasar Peluang Kedua menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang bankrap, sehingga tempoh masa satu tahun selepas Akta A1695 berkuat kuasa. Jumlah tersebut merupakan separuh daripada jumlah kes yang sedang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi," katanya.

Menurutnya di bawah pindaan Akta Insolvensi 1967, penambahan dua kategori baharu individu yang boleh dilepaskan melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) tanpa melalui prosedur bantahan pemiutang melibatkan Subseksyen 33B(2A).

Beliau berkata dua kategori baharu itu ialah individu bankrap yang tidak boleh mengurus diri dan hal ehwalnya akibat penyakit mental mengikut takrifan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001, serta individu bankrap berusia 70 tahun ke atas yang layak pada pendapat dan pertimbangan KPI tidak berupaya untuk menyumbang kepada pentadbiran kebankrapan.

Bagi memelihara kebajikan individu bankrap, Azalina berkata Akta A1695 turut membuat semakan had nilai harta bankrap yang boleh dikecualikan daripada dibahagikan dalam kalangan pemiutang dan had nilai bagi maksud kelayakan kes untuk ditadbir secara pentadbiran ringkas.

Selain itu, katanya melalui pelaksanaan Akta A1695, tadbir urus kebankrapan ditambah baik dengan penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh bagi pengendalian mesyuarat pemiutang dan penyerahan notis dan dokumen pentadbiran kebankrapan secara komunikasi elektronik.

"Selanjutnya, sebagai inisiatif untuk mempercepat pentadbiran kebankrapan, kewajipan Ketua Pengarah Insolvensi untuk mengadakan mesyuarat pertama pemiutang kini dimansuhkan," katanya.

-- BERNAMA