MALAYSIA
Peluasan SST tidak beri kesan besar kepada ibu bapa hantar anak ke institusi swasta

Nancy berkata, Cukai Perkhidmatan yang meliputi aspek itu hanya dikenakan kepada pengusaha yang mengutip yuran pengajian melebihi RM60,000 setahun bagi seorang pelajar. - Bernama
KUALA LANGAT: Pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak memberi kesan signifikan kepada ibu bapa yang menggunakan perkhidmatan institusi swasta bagi pendidikan peringkat taska, tadika dan prasekolah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia susulan Cukai Perkhidmatan (CP) yang meliputi aspek berkenaan hanya akan dikenakan kepada pengusaha yang mengutip yuran pengajian melebihi RM60,000 setahun bagi seorang pelajar.
"Ini lebih kepada mereka yang menghantar ke institusi swasta, bermakna mereka ini mampu dan orang ramai tidak perlu gusar kerana setakat ini difahamkan (kebanyakan) institusi swasta tidak mengenakan caj yang mencecah angka (RM60,000) setahun itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi dan Penghargaan Rakan Strategik Program Anjung Sinar 2025 di sini hari ini.Nancy turut menasihatkan para pengusaha agar tidak mengambil kesempatan terhadap inisiatif yang bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian sehingga membebankan ibu bapa.
"Kita harap mereka (pengusaha) menjalankan tugas dengan jujur untuk membantu ibu bapa agar mereka boleh kerja dan pengusaha perlu mengingatkan diri mereka yang orang memerlukan perkhidmatan mereka. Jadi, jangan kenakan bayaran secara berlebihan," katanya.
CP sebanyak enam peratus yang bermula pada 1 Julai ini meliputi perkhidmatan pendidikan termasuk prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah swasta itu tidak akan dikenakan kepada orang kurang upaya (OKU) warganegara Malaysia.
Terdahulu, Nancy menyampaikan anugerah kepada lima ikon cemerlang Program Anjung Sinar, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) masing-masing mewakili kategori Pendidikan, Kepimpinan, Komuniti, Kerjaya dan Sukarelawan.
Pemilihan ikon-ikon itu dibuat berdasarkan pencapaian dan sumbangan signifikan peserta sepanjang tiga tahun mereka digilap dan dibimbing melalui pendekatan menyeluruh yang ditawarkan oleh Program Anjung Sinar, yang mula dilaksanakan pada tahun 2023.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami