KUALA LUMPUR : Perdana Menteri hari ini mengemukakan sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang telah ditandatanganinya.

Susulan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan mendesak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepadanya.

Dokumen tersebut antara lain menyaksikan persetujuan meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda.

Pada Rabu, Anwar memaklumkan bersedia untuk kemukakan bukti bahawa beliau telah menandatangani dokumen bagi meluluskan pelupusan hutang Felda, seperti dituntut oleh Muhyiddin.



Dokumen tersebut ditandatanganinya pada 27 Jun lalu.

Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa perjanjian FSRA telah ditandatangani oleh Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 26 Jun 2023.

"Seperti diumumkan melalui siaran akhbar MOF bertarikh 28 Jun 2023, perjanjian ini melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada FELDA untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan FELDA. 

"Di bawah perjanjian, Kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun.

"Sehubungan itu, MOF juga ingin mengesahkan bahawa penyaluran pertama RM990 juta telah dilaksanakan pada 18 Julai 2023 selaras dengan peruntukan yang telah disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023," jelasnya. 

Katanya lagi, penyempurnaan perjanjian jaminan kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada FELDA merupakan elemen penting yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan FELDA antara lain mengambil kira antaranya impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan FELDA berikutan penghapusan hutang peneroka FELDA.

Terdahulu, Muhyiddin dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership antaranya menuntut Anwar mengemukakan surat atau dokumen yang ditandatangani, mengatakan Anwar sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun lalu meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion.

Selain itu, Muhyiddin menerusi firma guaman itu menuntut agar Anwar menarik balik semua kenyataan fitnah tersebut dan memadamkan semua penyiaran kenyataan fitnah dalam tempoh 24 jam selepas menerima surat berkenaan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga menuntut Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis susulan kenyataan berunsur fitnah.