Pemain gambus tersohor, Farid Ali, meninggal dunia di Hospital Selayang pada Sabtu (28 Dis 2013) lapor laman The Daily Seni.

Allahyarham yang dikenali dengan panggilan 'Mr Gambus' juga merupakan seorang pemain gitar yang cukup dikenali dalam muzik jazz tempatan dan antarabangsa.

Pemuzik kelahiran Singapura ini mendapat pendidikan muzik dari Guitar Institute dan Berklee College of Music dan sering dijemput membuat persembahan di The Boston Globe, Festival Jazz Pori, Festival Seni Los Angeles, Festival Jazz Montreal dan banyak lagi.

Selain itu Allahyarham juga banyak menerima anugerah berprestij antara Best Arranger Award (Curacao International Song Festival), Distant Accord Award (Wiltern Theater, LA), World Peace Movement Award (LA).

Allahyarham juga pernah menghasilkan tiga album iaitu No Strings Attached, Back to Basics dan Turning Point: Gambus Goes Jazz.

Permainan gambus Allahyarham mendapat perhatian peminat muzik antarabangsa apabila menghasilkan campuran muzik jazz bersama elemen seni muzik Melayu.

Allahyarham pernah berkolaborasi bersama beberapa nama-nama berpengaruh di arena muzik jazz seperti Ernie Watts, Eric Marienthal dan Steven Thornton.