Pemain tenis wanita nombor dua dunia dari Amerika Syarikat, Serena Williams dilaporkan telah mengikat tali pertunangan dengan pengasas bersama syarikat media sosial Reddit, Alexis Ohanian.

“Dia melamar dengan melutut sambil menyebut empat perkataan (sudikah anda mengahwini saya?). Dan saya jawab ‘ya’,” kata wanita berusia 35 tahun pada laman Reddit pada Khamis.

“Saya pulang. Sedikit lewat. Seseorang sudah menyiapkan beg pakaian untuk saya dan kereta kuda sudah menunggu. Destinasinya .. Rom (Itali), tempat dimana bintang kami ditemukan.”

Ohanian, 33, yang berasal dari New York turut mengesahkan berita itu di laman Facebook, dengan catatan: “Dia (Serena) berkata ‘saya setuju”.

Williams adalah pemain terhandal untuk generasinya dengan memenangi 22 gelaran perseorangan Grand Slam, sebaris dengan lagenda tenis dari Jerman, Steffi Graf, hanya kurang dua gelaran di belakang pemain Australia, Margaret Court dengan 24 gelaran.