Pemalsuan dokumen pemain warisan Harimau Malaya, 45 laporan diterima, 9 direkod keterangan

Rusdi Mohd Isa berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan penipuan. - Gambar Stadium Astro
KUALA LUMPUR : Polis setakat ini menerima 45 laporan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya, dengan sembilan individu dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Antara yang dipanggil termasuk daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan penipuan.
"Setakat ini kita (polis) terima 45 laporan dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Kita juga sudah selesai rekod kenyataan sembilan individu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Sebelum ini, FAM membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang membabitkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan.
Menurut FAM, tindakan itu dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka.
Dalam kenyataan sebelum ini, FAM turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 28 September lalu mengesahkan bahawa dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan FAM kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak membabitkan sebarang unsur rasuah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


