Skip to main content

Malaysia

Pemandu bas, kekasih atas riba ke penjara, mengaku salah pandu bahaya

https://www.sinarharian.com.my/article/776087/berita/semasa/pemandu-bas-kekasih-atas-riba-ke-penjara-mengaku-salah-pandu-bahaya
Arif Fahmi dan Nur Adila Najwa mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan ke atas mereka. - Foto Sinar Harian

JASIN: Seorang pemandu bas ekspres dan kekasihnya ke penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya, minggu lalu.

Tertuduh, Arif Fahmi Abd Salam, 36, dan Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Advertisement

Arif Fahmi dijatuhi hukuman penjara setahun, manakala Nur Adila Najwa dipenjara enam bulan, dengan masing-masing turut dikenakan denda RM5,000.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama didakwa memandu bas bernombor pendaftaran APE 9588 dengan cara berbahaya kepada orang awam.

Perbuatan itu dilakukan pada Ahad lalu sekitar jam 7.30 malam di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Jasin.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.

Sementara itu, Nur Adila Najwa turut didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang wanita berusia 44 tahun sehingga mengganggu ketenteraman mangsa.

Kesalahan itu dilakukan pada hari sama kira-kira jam 6 petang di dalam bas berkenaan ketika susur keluar dari R&R Bemban arah selatan, di daerah Jasin.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan ia merupakan kesalahan pertama selain tidak melibatkan kerugian iaitu tiada kemalangan berlaku dan penumpang tiba dengan selamat di destinasi.

Arif Fahmi berkata, dia telah menerima kesan daripada tindakannya itu apabila diberhentikan kerja serta-merta oleh syarikat, sekali gus hilang punca pendapatan untuk menanggung ibunya yang menghidap darah tinggi serta dua adiknya.

Beliau turut memaklumkan perlu hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memberi keterangan berhubung kes sama.

Sementara itu, Nur Adila Najwa dalam nada sebak memohon hukuman ringan kerana masih muda dan mahu menyambung pelajaran.

“Saya mengaku salah. Umur saya baru 21 tahun dan tinggal bersama nenek sejak saya masih bayi.

“Saya memperoleh keputusan 8A dan 2B dalam SPM, namun terpaksa menolak tawaran melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan.

“Selepas nenek meninggal dunia, tiada siapa yang menanggung saya, lalu saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan berharap dapat menyambung pelajaran,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Noor Syazwani Mohamad Yusri dalam hujah pemberatnya memohon hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan kes tersebut.

Menurutnya, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang awam selain mengambil kira kepentingan awam yang harus didahulukan berbanding kepentingan tertuduh.

“Kes ini juga mencetuskan kegusaran dalam kalangan pengguna pengangkutan awam selepas tular di media sosial, apabila (kesalahan dilakukan) jelas menunjukkan isu keselamatan ketika memandu jentera besar diabaikan.

“Terdapat 27 nyawa dalam bas berkenaan dan tindakan tertuduh tidak boleh diterima. Mujur tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Jika sebaliknya berlaku, bagaimana nasib penumpang?” katanya.

Beliau turut memaklumkan lesen memandu tertuduh pertama telah tamat tempoh pada 1 April 2026, iaitu sebelum kejadian pada 12 April lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh sabitan, selain menetapkan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh juga hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.

Selain itu Nur Adila Najwa turut didenda RM100 selepas mangaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955

Mazana berkata, tindakan tertuduh jelas mengabaikan keselamatan walaupun tiada kemalangan berlaku dan berharap hukuman itu dijadikan pengajaran.  - Sinar Harian

 

 

 

Must Watch Video