ALOR SETAR: Seorang pemandu bas Universiti Utara Malaysia (UUM) maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar pintu sebuah lori di Jalan UUM Sintok-Padang Sanai, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, mangsa Muhammad Firdaus Azme, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialaminya.
Mohd Radzi berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa lori dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun itu dalam perjalanan dari arah UUM Sintok menghala ke Kuala Nerang.
“Sebaik tiba di selekoh jalan di lokasi kejadian, mangsa yang datang dari arah Kuala Nerang menghala ke UUM Sintok telah masuk ke laluan lori itu. Akibat jarak terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian pintu sebelah kanan lori terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat.
-- BERNAMA