TANJUNG MALIM: Polis berjaya menahan pemandu treler yang membuat pusingan U sehingga menyebabkan dua remaja perempuan maut dalam nahas, di Kilometer 121, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, berhampiran Kampung Kelawar, dekat sini, 29 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Melaka kira-kira jam 11.57 malam tadi oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Muallim.

“Hasil soal siasat yang dilakukan, suspek telah mengaku menyebabkan kemalangan tersebut ketika sedang membuat pusingan U di lokasi kemalangan.

“Akibat perkara tersebut juga, suspek telah menghantar notis berhenti kerja 24 jam kepada majikannya pada 30 Mac, sehari selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Hasni berkata, sebuah treler jenis Volvo turut dirampas di Kerling, Selangor dan hasil pemeriksaan, terdapat kesan bengkok dan cat tertanggal pada penghadang besi di sebelah kanan, di tengah kenderaan berkenaan.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah dan suspek telah direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang banyak membantu dan menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan sehingga suspek berjaya diberkas.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan bengkok dan cat tertanggal pada penghadang besi di sebelah kanan, di tengah kenderaan berkenaan. - Foto PDRM

Pada 30 Mac lalu, media melaporkan dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dalam nahas dengan sebuah lori tangki di Kilometer 121 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara dekat sini, sehari sebelumnya.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Mimi Nurwaheeda Nor Kamar Hisham, 19, bersama pembonceng Nur Nabila Rosdi, 19.

Mimi Nurwaheeda dilaporkan maut akibat digilis lori berkenaan, manakala Nur Nabila meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Slim River.