LIPIS: Seorang lelaki cedera apabila kereta dipandunya diseret sebuah lori di Kilometer 20 Jalan Lipis- Merapoh dekat jambatan Padang Tengku di sini pada petang Jumaat.

Kemalangan tersebut turut menyebabkan kesesakan jalan raya sejauh lebih dua kilometer ekoran kenderaan yang terlibat telah menghalang lalu lintas dan hanya satu lorong menghala ke Lipis sahaja boleh dilalui.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 6.40 petang yang menyatakan berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori jenis Volvo dan kereta Perodua Myvi.

"Siasatan polis mendapati lori dan kereta berkenaan datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kelantan.

"Kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa dipercayai hendak memotong lori berkenaan namun datang kenderaan dari arah bertentangan.

"Pemandu kereta tersebut kemudiannya bertindak masuk di hadapan lori secara tiba-tiba dan menyebabkan kenderaan berat tersebut mengheret kereta Myvi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kemalangan terbabit turut menyebabkan kesesakan jalan raya lebih dua kilometer ekoran kenderaan yang terlibat telah menghalang lalu lintas. - Foto ihsan pembaca Astro AWANI

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan pemandu kereta mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.

Jelasnya, siasatan di tempat kejadian mendapati cuaca dalam keadaan baik, bentuk jalan lurus dan garisan berkembar sebagai pembahagi jalan.