Seorang pemandu e-hailing yang dikatakan terlibat dalam kes dera seorang kanak-kanak berusia dua tahun sehingga maut di Pangsapuri Vista Perdana, di sini ditahan reman tujuh hari, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki itu ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur bagi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau memberitahu, semakan awal mendapati tidak ada sebarang keterangan yang mengatakan mangsa didera sebelum ini.

"Siasatan masih berjalan, kita juga akan melakukan ujian air kencing bagi memeriksa sama ada suspek melakukan perbuatan itu ketika di bawah pengaruh dadah atau sebaliknya," katanya di sini, pada Ahad.

Nik Ezanee turut memberitahu, laporan bedah siasat mangsa masih belum keluar.

Lelaki berusia 26 tahun ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari Sabtu, di sedang berehat dalam keretanya di Jalan PJS 9/1 Subang Jaya, di sini.

Terdahulu, Nik Ezanee memberitahu, kejadian itu disiasat selepas pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berusia 23 tahun mengatakan seorang kanak-kanak lelaki tidak sedarkan diri dipercayai didera, kira-kira jam 11.45 malam Jumaat.

Sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke pangsapuri berkenaan dan mendapati seorang wanita yang mendukung seorang kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri, menunggu ambulans di perkarangan pangsapuri berkenaan.

Dalam keadaan cemas itu, pihak polis memberi bantuan dengan membawa kanak-kanak itu serta wanita yang juga ibu mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan.

Kanak-kanak lelaki itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan menemui kesan kecederaan pada bahagian kepalanya.

Hasil maklumat awal yang diterima daripada ibu mangsa mendapati mangsa ditinggalkan bersama teman lelaki wanita itu ketika dia keluar untuk membeli makanan.

Sebaik pulang, dia mendapati kanak-kanak itu sudah tidak sedarkan diri dipercayai didera oleh teman lelakinya dan lelaki turut didapati sudah menghilangkan diri.