ALOR SETAR: Seorang pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan menyeludup lima pendatang tanpa izin (PATI) di Changlun, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Aseri Musa, 60, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membawa lima warga Myanmar berumur lima hingga 37 tahun yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah di dalam sebuah kenderaan.

Kesalahan itu dikesan ketika tertuduh melalui kawasan berhampiran Taman Hosba di Changlun, Kubang Pasu, jam 5 petang pada 29 September lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syaliati Mohd Sobri manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Samsul Nizam Solimi.

Mahkamah Sesyen tidak memberikan jaminan kepada tertuduh kerana kes terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 November depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh kemudian dihantar ke Penjara Alor Setar sementara menunggu tarikh perbicaraan.