NATIONAL
Pemandu kereta rentung kenderaan terbakar di Lebuhraya Utara Selatan

Sebuah kereta terbabas melanggar pembahagi jalan di KM65.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara malam tadi, mengakibatkan seorang mangsa maut. - Foto JBPM Kedah
PENDANG: Seorang pemandu kereta ditemukan rentung selepas kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 65.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Happyzam Abd Rasid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 11.36 malam.
“Sepasukan anggota dari BBP Guar Chempedak dan BBP Pendang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhammad Muslim Al Mubarak tiba di lokasi pada jam 11.58 malam.
"Jumlah keseluruhan anggota yang terbabit dalam operasi ini adalah seramai 15 orang serta turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gurun serta Tanah Merah."Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan terdapat kemalangan jalan raya di lokasi.
"PGO Kedah mengarahkan BBP Guar Chempedak dan Pendang ke lokasi kejadian untuk melakukan penyelamatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Mohd Happyzam berkata, setibanya di lokasi didapati berlaku kemalangan jalan raya yang membabitkan sebuah kereta terbabas dan melanggar pembahagi di sebelah kiri jalan.
Beliau berkata, kenderaan itu kemudian terbalik sebelum terbakar.
"Komander operasi memaklumkan terdapat seorang mangsa dalam kereta terbabit dan kerja-kerja pemadaman dilakukan sehingga api berjaya dikawal pada jam 12.40 tengah malam.
"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat seorang mangsa berada dalam kereta terbabit dalam keadaan rentung namun jantina serta identitinya belum dikenal pasti," katanya.
Mohd Happyzam berkata, mayat yang masih belum dikenal pasti setakat ini, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami