TAIPING: Polis Marin Perak berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan rokok tanpa cukai di daerah Taiping dan Kerian dengan tertangkapnya seorang lelaki menerusi Op Kontraban di Batu Kurau pada Rabu.

Pemeriksaan Unit Risikan Marin dari Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh sekitar jam 1.30 petang itu turut merampas lebih 336,000 batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM275,520.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia lingkungan 50-an yang bekerja pemandu lori itu mengambil upah sebagai penghantar rokok seludup di dua daerah terbabit.

"Pemeriksaan dilakukan ke atas lori itu telah menemukan sejumlah rokok yang tidak mempunyai pengesahan bercukai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Semua bungkusan rokok itu ditutupi dengan guni bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, lelaki tempatan itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dan direman selama 15 hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

"Kita turut merampas lori digunakan dan sebuah telefon bimbit milik suspek.

"Dengan tangkapan ini, kita telah berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tanpa cukai di sekitar daerah Taiping dan Kerian," katanya.

Shamsol berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan seumpama itu.

"Kita mohon orang awam untuk sama membantu dengan tampil menyalurkan apa jua maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan ini," katanya.


*Berita penuh di Sinar Harian