PASIR MAS: Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini, atas dua pertuduhan mencederakan isteri dan ibu mentua menggunakan pisau pada Selasa lalu.

Tertuduh, Wan Mohammad Hafizuddin Wan Ismail, 27, membuat pengakuan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh dengan sengaja menyebabkan mencederakan ibu mentua, Tuan Azizah Tuan Bongsu, 61, dan isteri, Nik Salma Joni, 26, menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Cabang Empat, Tumpat pada pukul 5.30 petang, 21 Jun lalu.

Bagi pertuduhan pertama mencederakan mentua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan dan bagi pertuduhan kedua mencederakan isteri, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan.

Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua, manakala Seksyen 326 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau hendaklah dikenakan denda atau sebat atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dibimbangi mengganggu saksi

Mahkamah kemudiannya menetapkan 5 September sebagai tarikh hukuman dan tidak menawarkan jaminan.