Seorang pemandu lori sampah maut apabila dihempap sebuah kren pada kejadian 5.30 pagi tadi semasa sedang melakukan kerja pembersihan di belakang sebuah pasar raya di Melaka Raya.

Anas Tawi berusia 56 tahun bertaraf penduduk tetap meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di bahagian bahu dan leher.

Semasa kejadian, mangsa bersama seorang lagi kelindan, Sabri Bidin, 45, mahu mengundurkan lori untuk mengangkat tong sampah.

Tetapi kren yang sedang mengangkat sebuah generator secara tiba-tiba terjatuh dan menghempap kepala lori berkenaan.

Menurut saksi yang juga seorang pengawal keselamatan di pasar raya itu, semasa kejadian dia sedang meronda kawasan dan memberitahu pekerja projek terbabit kebiasaannya hanya tiba pada pukul 8.30 pagi.

“Kejadian ini lebih kurang 5 setengah dan selalunya dia datang tarik tong sampah dan tiba-tiba kren ini jatuh menghempap lori, tak tahu kenapa jadi begini,” kata beliau.

Terdahulu, usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit itu mengambil masa kira-kira satu jam oleh anggota balai bomba dan penyelamat Jalan Kubu.

Jenazah mangsa yang menetap di Durian Tunggal, Melaka itu dibawa ke hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Sementara itu, operasi projek pembinaan tambahan pawagam di bangunan kompleks membeli-belah di Bandar Hilir itu diarah diberhentikan serta-merta bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Melaka, Datuk Ismail Othman memaklumkan siasatan akan lakukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Siasatan awal mendapati kerja-kerja pembinaan berkenaan dilakukan di luar waktu dibenarkan pihak berkuasa tempatan yang menetapkan operasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Sementara itu, Pengarah JKKP Melaka, Jaafar Leman menjelaskan kejadian itu, kemungkinan berpunca daripada kedudukan kren tidak stabil di atas permukaan tanah selain perlu menanggung pam konkrit yang berat.

Kes disiasat mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 (OSHA) serta Akta Kilang dan Jentera 1967.

Kerja pembinaan pawagam baru itu mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Jun lalu.