NATIONAL
Pemandu mengaku tidak bersalah sebabkan kematian murid tadika tertinggal dalam van sekolah
BATU PAHAT: Seorang pemandu van sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki yang tertinggal dalam van sekolah dalam kejadian di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, akhir bulan lepas.
Ringkasan AI
- Seorang pemandu van sekolah, Yau Chee Weng, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki yang tertinggal dalam van sekolah di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri.
- Yau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
- Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah, dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Jun depan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Seksyen 31(2) akta sama memperuntukkan bahawa mahkamah hendaklah memerintahkan pesalah menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik bagi satu tempoh yang sesuai, dan melaksanakan khidmat masyarakat tidak kurang daripada 36 jam dan tidak melebihi 240 jam secara agregat dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dari tarikh perintah.
Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Goh Toh Jen.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin warganegara berserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi sepanjang prosiding serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 12 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Pada 1 Mei lepas, media melaporkan seorang murid tadika berusia lima tahun maut selepas tertinggal dalam van sekolah selama lebih empat jam di Taman Bukit Indah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan dilapor berkata mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam van berkenaan pada kira-kira 12 tengah hari, dipercayai tertinggal selepas pemandu menurunkan pelajar lain di hadapan sekolah sekitar pukul 7.30 pagi hari yang sama.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu van sekolah di kawasan Taman Bukit Indah pada 2.40 petang, hari sama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami