Ibarat anak tiri, itu gambaran jelas yang dizahirkan Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail terhadap nasib yang ditanggung majoriti pemandu teksi di negara ini.

Tegasnya, hingga masa ini kerajaan masih mengutamakan perkhidmatan e-hailing walaupun akta berkaitan perkhidmatan itu belum diwartakan dan dikuatkuasakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

"Hentikanlah promosi Uber atau Grab ini sehingga ia 100 peratus dikuatkuasa dan diwartakan. Itu sahaja yang kita minta.

"Jadi kepada menteri-menteri, henti beri sebarang ulasan hingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akta tersebut mula dikuatkuasa dan diserahkan kepada SPAD untuk dilaksanakan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau pada masa sama mengakui industri perkhidmatan teksi sukar melaksanakan perubahan.

Bagaimanapun beliau menyatakan kelemahan itu berpunca daripada kegagalan syarikat-syarikat pemilik permit teksi untuk bekerjasama,

"Syarikat-syarikat teksi yang dapat permit ini tak ada pendirian. Mereka hanya tahu buat duit bila dapat permit. Mereka bukan peduli dengan nasib pemandu-pemandu mereka!

"Itu (masalah syarikat teksi) memang betul-betul jadi kesukaran untuk SPAD buat transformasi. Itu memang saya akui.

Malah beliau mendedahkan masalah itu berlarutan sejak industri perkhidmatan teksi dikawal selia oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) lagi.

Walaupun mengakui industri perkhidmatan teksi sukar berubah, beliau tetap meminta kerajaan mempertimbang beberapa inisiatif dalam membantu pemandu teksi untuk kekal bersaing secara positif dengan perkhidmatan e-hailing.

"Pertama, Kabinet tak boleh tunjuk pilih kasih dan kedua petrol sudah meningkat sekaligus kos sara hidup juga tinggi selain penyelenggaraan kereta juga mahal disebabkan cukai dan sebagainya.

"Untuk mengurangkan masalah ini, Kerajaan kena keluarkan satu peruntukan khas kepada pemandu teksi untuk tukar enjin petrol kepada enjin elektrik," tambahnya.