Pemandu teksi yang berhemah antara penyumbang utama industri pelancongan negara. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tingkah laku baik yang dipamerkan warga pemandu teksi akan dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia.

Katanya ia sejajar dengan matlamat kerajaan bagi memastikan orang ramai dan pelancong mendapat perkhidmatan teksi terbaik.

"Kalau rupa dia kurang cantik pun biarlah biarlah perangani dan tingkah laku dia cantik semula jadi itu kurniaan Ilahi tapi perangai dan tingkah laku itu, manusia boleh betulkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberikan 500 lesen individu di bawah program Teksi 1 Malaysia, TEKS1M.

Ia merupakan sebahagian daripada seribu lesen yang dijanjikan beliau sebelum ini.

Jelasnya sebagai usaha membaiki perkhidmatan teksi, pemilik lesen individu akan menggunakan model baru Proton Exora sebagai teksi dan diberikan bantuan RM5,000 daripada Yayasan Rakyat 1 Malaysia berserta pakej khas.

"Ia meliputi harga kereta yang dikecualikan cukai jualan dan cukai kastam, tiada wang pendahuluan perlu dikeluarkan kadar faedah pinjaman 2 peratus setahun oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) lebih rendah dari bank-bank lain" katanya.

Pakej berkenaan turut merangkumi penyelenggaraan dibawah harga pasaran, insurans komprehensif motor “first party” dan insurans perlindungan diri untuk tahun pertama.

Teksi berkenaan dijangka memulakan operasinya September ini.