BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu van bertindak agresif sehingga hampir melanggar anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang ketika cuba melarikan diri daripada ditahan dalam Op Khas Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam di Jalan Perusahaan Perai di sini, pada Khamis.

Lelaki berumur 40-an yang memandu van persendirian dengan membawa lapan pekerja pembersihan itu ditahan pada 7.30 pagi dan mempertikai tindakan pihak JPJ yang menahannya kerana mendakwa kenderaan dipandunya mempunyai cukai jalan serta dia turut memiliki lesen memandu.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa berkata pemeriksaan anggota penguatkuasanya mendapati van dipandu lelaki itu tidak memiliki Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), malah dia menggunakan kenderaan persendirian bagi menjalankan kerja membawa pekerja.

"Semasa ditahan lelaki itu dalam perjalanan menghantar lapan pekerja dari asrama ke sebuah kilang di Perai dan sebaik dimaklumkan kesalahannya dia bertindak agresif malah mempertikai tindakan pihak JPJ menyita van tersebut.

"Lelaki itu cuba melarikan diri dengan memecut van terbabit dan hampir terkena anggota penguat kuasa kami, nasib baik anggota berkenaan sempat mengelak serta tindakan pantas penguat kuasa (JPJ) yang lain telah berjaya menahan pemandu van itu," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi selama tiga jam itu.

Adenan berkata lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut manakala van berkenaan disita dengan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian bagi tujuan perkhidmatan awam.

Beliau berkata dalam operasi bermula pukul 7 pagi itu, pihaknya memeriksa sebanyak 132 bas dan van kilang sebelum mengeluarkan sebanyak 110 saman dan notis kerana pelbagai kesalahan lalu lintas serta undang-undang.

"Kami turut menyita 17 bas dan van kilang kerana pelbagai kesalahan antaranya pemandu bas tidak memiliki lesen memandu dan lesen PSV, cukai jalan serta permit tamat tempoh kenderaan," katanya.

Beliau berkata malah ada dalam kalangan pemandu bas dan van kilang yang ditahan semalam pernah beberapa kali dikenakan tindakan sebelum ini kerana kesalahan yang sama iaitu tiada lesen memandu dan lesen PSV.

"Kesalahan tiada lesen memandu dan PSV ini bukan kesalahan ringan kerana kesannya bukan sahaja kepada pemandu malah penumpang juga jika berlaku kemalangan.

"Majikan pemandu-pemandu tersebut juga dilihat mengambil mudah dengan mengambil pekerja tanpa memastikan mereka mempunyai lesen atau tidak.

"Ada dalam kalangan mereka yang kami tanya mengapa bekerja sebagai pemandu bas walaupun tiada lesen, mereka memaklumkan boleh membawa bas dan majikan terima sahaja janji boleh memandu (bas), jadi kita akan ambil tindakan terhadap pemilik syarikat sama kali ini," katanya.

Menurutnya, operasi oleh 62 pegawai dan anggota itu turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri dan penguatkuasaan itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA