JOHOR BAHRU: Kenderaan rasmi yang membawa Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail tiba di Istana Bukit Serene, di sini, pada 11.03 pagi ini.
Keberangkatan Tunku Ismail adalah bagi upacara Istiadat Mengangkat Sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) bagi penggal baharu.
Kenderaan membawa Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir pula memasuki pekarangan istana menerusi pintu utama pada 10.19 pagi.
Sementara itu, beberapa kenderaan yang membawa Exco baharu mula memasuki pintu istana di Jalan Kolam Air pada 9 pagi.
Terdahulu, pengamal media mula berkumpul di hadapan pintu istana seawal 8 pagi bagi mengikuti perkembangan perjalanan istiadat berkenaan.
Ahad lepas, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut, selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
PRN Johor yang berlangsung pada 11 Jun lepas menyaksikan BN memenangi 48 daripada 56 kerusı DUN, sekali gus diberi mandat membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.
-- BERNAMA