Skip to main content

Malaysia

Pemansuhan AUKU peluang bina ekosistem pendidikan tinggi lebih matang - UTM

41619931419_UTM.jpg
Mohd Shafry berkata UTM menyambut baik aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melaksanakan transformasi berkenaan secara menyeluruh dan bertanggungjawab. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu dilihat bukan sekadar sebagai pengakhiran sebuah undang-undang, sebaliknya peluang untuk membina semula ekosistem pendidikan tinggi negara yang lebih matang, inklusif dan berpandangan jauh.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata perubahan itu perlu disokong kerangka perundangan yang mampu menyuburkan ilmu, keberanian intelektual dan daya cipta selaras dengan perubahan teknologi, ekonomi serta geopolitik.

Beliau berkata UTM menyambut baik aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melaksanakan transformasi berkenaan secara menyeluruh dan bertanggungjawab.

“Universiti hari ini bukan sekadar tempat menyampaikan pengetahuan, tetapi medan mencipta penyelesaian, membina gagasan dan membangunkan warga yang mampu berfikir secara bebas serta bertindak secara beretika.

“Oleh itu, perundangan pendidikan tinggi mesti berkembang seiring perubahan zaman, tanpa mengabaikan kestabilan institusi dan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Shafry berkata autonomi institusi wajar menjadi asas pembaharuan itu dengan universiti diberi ruang mencukupi untuk menentukan keutamaan akademik, memperkukuh penyelidikan, membangunkan bakat dan membina kerjasama strategik berdasarkan kekuatan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau berkata autonomi bukan kebebasan tanpa batas, sebaliknya perlu bergerak seiring akauntabiliti, ketelusan, integriti dan tanggungjawab sosial.

Dalam pada itu, beliau berkata kebebasan akademik perlu diperkasakan sebagai nadi universiti yang berwibawa, dengan akademik dan mahasiswa diberi ruang meneroka persoalan sukar, mengemukakan pandangan berasaskan bukti serta berbeza pendapat secara beradab.

“Namun, kebebasan ini menuntut disiplin intelektual. Hujah perlu disokong fakta, penyelidikan perlu beretika dan wacana tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan fahaman melampau atau merendahkan karamah insaniah,” katanya.

Beliau berkata kerangka baharu perundangan pendidikan tinggi juga perlu mengiktiraf kepelbagaian institusi termasuk universiti, kolej universiti, institusi berfokus teknikal dan penyedia pendidikan swasta yang mempunyai mandat serta cabaran berbeza.

“Proses menggubal kerangka pengganti hendaklah bersifat rundingan dan berasaskan bukti. Pandangan mahasiswa, akademik, pentadbir, alumni, industri, masyarakat sivil dan pakar perundangan perlu didengar dengan terbuka.

“Matlamatnya bukan semata-mata mengganti nama sebuah akta, tetapi menghasilkan aturan yang lebih jelas, adil dan berupaya bertahan menghadapi perubahan masa hadapan,” katanya.

Mohd Shafry berkata UTM bersedia menyumbangkan kepakaran dan bekerjasama dengan kerajaan serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan pembaharuan itu memberikan manfaat nyata kepada mahasiswa, institusi dan negara.

Beliau berkata kejayaan pemansuhan AUKU tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan tarikh akta dimansuhkan atau undang-undang baharu diluluskan, sebaliknya melalui keupayaan universiti menjadi lebih berani mencari kebenaran, cekap mengurus amanah, terbuka meraikan perbezaan dan dekat dengan keperluan rakyat.

“Ini peluang untuk membina pendidikan tinggi yang bukan sahaja berdaya saing pada pentas global, tetapi kukuh nilai kemanusiaannya sejajar dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035,” katanya.

Pada 15 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberikan jaminan bahawa AUKU akan dimansuhkan bagi memberikan kebebasan dan ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement