Skip to main content

Malaysia

Pemansuhan AUKU tidak jamin kebebasan akademik, perlu disusuli reformasi universiti

GEORGE TOWN, 14 Nov -- Para mahasiswa mengajukan soalan dalam sesi perkongsian ilmu bertajuk Mobile Journalism yang disampaikan oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Syed Iylia Hariz Al-Qadri, sempena Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa (Komca) USM, hari ini. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Pengarah MINDA UKM, Dr Anuar Ahmad berpendapat, pemansuhan AUKU perlu disusuli perancangan yang jelas bagi memastikan universiti benar-benar menjadi ruang kepada kebebasan akademik. - Gambar hiasan/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak menjamin kebebasan akademik sekiranya perubahan terhadap autonomi, struktur pentadbiran dan budaya institusi pengajian tinggi tidak dilaksana secara menyeluruh.

Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Khoo Ying Hooi berpandangan, AUKU bukan satu-satunya sumber sekatan terhadap kebebasan akademik kerana masih terdapat peraturan dalaman universiti seperti mekanisme tatatertib yang perlu diberi perhatian.

“Bagi ahli akademik, persoalan sebenarnya jauh lebih kompleks. AUKU bukan satu-satunya sumber sekatan sahaja. Malah sebenarnya ia bukanlah hanya satu alat yang selalu digunakan pada zaman sekarang. Contohnya mungkin sekitar 10 tahun lepas, kerajaan gunakan Akta Hasutan 1948 terhadap ahli akademik. 

“Namun demikian pada masa sama kita masih mempunyai Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 atau Akta 605 yang memberikan implikasi terhadap kakitangan universiti awam,” katanya dalam rancangan Agenda AWANI pada Isnin.

Jelasnya, budaya institusi juga memainkan peranan penting dalam menentukan kebebasan mahasiswa dan ahli akademik untuk menyelidik, menulis serta terlibat dalam perbahasan awam.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad yang bersetuju dengan pandangan itu berkata, kebebasan akademik perlu diperkukuh berpaksikan tiga teras iaitu, undang-undang yang tidak menyekat, autonomi universiti dan budaya akademik.

Lebih penting, katanya, pemansuhan AUKU juga perlu disusuli perancangan yang jelas bagi memastikan universiti benar-benar menjadi ruang kepada kebebasan akademik.

“Persoalannya, sejauh mana pihak universiti dan pihak kementerian bersedia menyediakan autonomi universiti? Sejauh mana mampu bina budaya akademik? Saya rasa itu dua cabaran berbeza selain daripada kita memansuhkan AUKU.

“Saya fikir kalau setakat memansuhkan AUKU sahaja tetapi kita tidak mempunyai perancangan untuk menjayakan kebebasan akademik, saya tidak fikir universiti akan menjadi tempat yang menjadi ruang untuk kebebasan akademik itu berlaku dengan secara organiknya,” ujarnya.

Must Watch Video

Advertisement