Keputusan kerajaan memansuhkan cukai pelancongan ke atas rakyat tempatan dilihat banyak memberi impak positif terhadap sektor pelancongan di negara ini terutama membabitkan pelancong tempatan, kata Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

"Ini perkara yang cukup baik malah membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mendengar pandangan rakyat memandangkan ramai rakyat kita yang gemar melancong di dalam negeri.

"Walaupun RM10 atau RM2 dilihat satu jumlah yang tidak besar, ia sebenarnya boleh membantutkan hasrat rakyat Malaysia daripada melancong. Dengan keputusan ini, saya harap rakyat Malaysia akan terus melancong sama ada di dalam atau di luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pokok Sena di sini hari ini.

Rabu lepas, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata rakyat Malaysia dikecualikan daripada membayar cukai pelancongan bagi semua jenis hotel dan premis penginapan,

Sebaliknya, cukai berkenaan akan dikenakan terhadap pelancong asing yang tinggal di semua jenis premis penginapan pada kadar RM10 bagi setiap bilik satu malam.

Mas Ermieyati, yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO, turut meminta anggota Puteri UMNO supaya mengukuhkan gerak kerja dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya mereka perlu terus fokus dalam usaha menambah anggota yang kini berjumlah 385,000 orang di seluruh negara setakat Mei lalu dengan lebih 2,000 anggota di Pokok Sena.

Mengenai calon pilihan raya, Mas Ermieyati berkata pihaknya sudah mempunyai senarai calon tetapi masih di peringkat perbincangan.

"Ketika Pilihan Raya Umum ke-13, kita ada sembilan calon Puteri yang mendapat tempat sebagai Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri. Jadi kita harapkan jumlah itu akan bertambah untuk PRU14," katanya.

-- BERNAMA