Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa pemantau yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tidak menggunakan kuasa yang ada sepenuhnya.

Mohamad juga berharap agar SPR mengambil tindakan segera terhadap beberapa laporan polis yang telah dibuat sepanjang kempen PRK Rantau.

“Banyak kempen pihak sebelah yang kalau kita perhalusi, terang-terang melanggar peraturan pilihan raya.

“Semalam, hampir-hampir sahaja dibuat pemberian duit raya kepada pengundi di Sendayan. Puasa tak lagi dah nak beri duit raya. Sangat cekap.

“Saya jangkakan ini sebagai salah satu rasuah pilihan raya. Apabila kita buat laporan polis, maka mereka batalkan,” katanya pada satu sidang media di Bilik Gerakan Utama BN, di sini, hari ini.

Selain itu, Mohamad turut mendakwa terdapat aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti menukar minyak hitam, cuci kereta percuma dan sebagainya.

“Saya harap sebagai parti kerajaan kalau pun dah terdesak sangat, buatlah kempen pilihan raya yang tak langgar peraturan.

“Pemantau pilihan raya yang dilantik, jalankan tugas dengan baik. Banyak benda-benda yang kita tahu, terang-terang menyalahi peraturan pilihan raya.

“Terang-terang buat jamuan besar-besaran. Panggil bintang filem. Sepatutnya dihalang. Dihentikan pada waktu itu juga sebab kamu ada kuasa,” katanya.

Katanya, beliau tidak menyentuh soal mahkamah tetapi SPR mempunyai kuasa untuk menghalang.

Sebelum ini, sebuah mesyuarat BN yang dibuat di Rumah Johor dihentikan serta-merta hanya disebabkan menggunakan pembesar suara.

PRK DUN Rantau 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S Streram, Mohamad dan dua calon bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.