Pemantauan terhadap pengurusan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri Pahang didapati kurang memuaskan kerana perbincangan khusus tentang TRM tidak dilaksanakan dalam mesyuarat di peringkat Pejabat Tanah Daerah (PTD).

Laporan Ketua Audit Negara 2013, Siri 2 yang dibentang di Dewan Rakyat Isnin mendedahkan keadaan itu menyebabkan sehingga 31 Dis tahun lepas, terdapat 78.1 peratus perizaban belum diwartakan di empat daerah selain sejumlah 13 kes pembatalan.

Audit antara November 2013 hingga Februari 2014 di Jerantut, Maran, Kuantan dan Temerloh turut mendedahkan terdapat 65 kes penggantian TRM belum selesai.

Ia membabitkan 14 kes pembatalan TRM belum ganti dan 51 lagi dalam tindakan pengesanan fail sementara 14.7 peratus geran TRM masih belum disahkan sebagai TRM dan 90 peratus geran Orang Melayu belum disahkan Pegangan Melayu.

Selain itu, daftar dan rekod serta pemantauan TRM didapati tidak memuaskan.

Walaupun semua PTD dilawati menyediakan daftar bagi merekod TRM di daerah masing-masing yang mengandungi maklumat tanah diluluskan, pembatalan dan penggantian TRM namun daftar itu tidak diselenggara dan dikemas kini sehingga turut mengandungi maklumat pelbagai jenis tanah rizab lain.

Sehubungan itu, Jabatan Audit Negara mencadangkan Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian (PTG) dan PTD mengambil langkah penambahbaikan dengan mewujudkan kaedah pelaksanaan serta mekanisme pemantauan.

Ini termasuk menyediakan daftar TRM yang lengkap agar kelewatan dalam pewartaan TRM, pewartaan pembatalan dan penggantian dapat diselesaikan dalam tempoh sewajarnya.

PTG selaku pihak yang memain peranan untuk mentadbir dan mengurus TRM di Pahang dan PTD yang bertanggungjawab di peringkat daerah, perlu menyediakan serta mengemas kini rekod TRM yang diwartakan selain membuat pengesahan ke atas geran pemilik bagi mengelak pindah milik kepada pihak lain.

Kedua jabatan ini juga perlu menambah baik prosedur kerja dan memberi latihan secukupnya bagi mempertingkat kecekapan pegawai.

Bagaimanapun, Jabatan Audit Negara mendapati pengurusan TRM dari segi jumlah keluasan tanah yang diganti adalah baik dengan jumlah keluasan diganti melebihi keluasan yang dibatalkan.

Ia berikutan peratus keluasan TRM daripada keluasan negeri Pahang selepas merdeka meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 12.1 peratus berbanding sebelum merdeka adalah 8.8 peratus.

Mengikut rekod Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (Jupem), sehingga akhir tahun lepas, keluasan tanah di Pahang ialah 3,597,376.97 hektar manakala keluasan TRM ialah 436,910.47 hektar .

Dalam tempoh sama, keluasan TRM yang dilupus di negeri ini ialah 42,548.32 hektar manakala yang diganti ialah 54,714.96 hektar, iaitu melebihi 12,166.64 hektar daripada keluasan yang dibatalkan.