KUANTAN: Pemasangan landasan pertama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan laluan dari Gebeng di sini menghala ke Dungun, Terengganu dijadualkan bermula akhir tahun ini.

Pengurus Pembinaan Wilayah (Pahang) Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Khairi Khalid Abdul Rahman berkata ia melibatkan laluan sepanjang 90 kilometer (km) dengan jangkaan siap antara tiga ke empat bulan sebelum kerja pemasangan diteruskan dari Gebeng ke Maran.

"Kita menjangkakan pemasangan landasan sepanjang 1.5 km sehari bagi laluan Gebeng ke Dungun. Kerja pemasangan ini bermula di Gebeng kerana material yang digunakan termasuk mesin pemasangan landasan adalah dari China dan selari dengan perancangan projek.

"Semua bahan ini akan tiba di Pelabuhan Kuantan antara Oktober atau November ini, menyebabkan pemasangan landasan bermula di Pahang," katanya semasa ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama ECRL di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang turut menyampaikan duit raya kepada 30 anak yatim daripada Permata Al Kauthar Muqarrabin.

Khairi Khalid berkata daripada keseluruhan 665 km jajaran ECRL, 231 km daripadanya terletak dalam Pahang melibatkan kira-kira 152 km landasan searas, manakala yang bakinya adalah jambatan dan terowong.

Bagi kerja melibatkan jambatan, Khairi Khalid berkata kerja pemasangan rasuk jejambat sedang rancak dijalankan dengan kemajuan kerja setakat ini, sekitar 5 km bagi laluan jambatan di Pahang.

"Terdapat dua buah mesin pemasangan rasuk yang dipanggil beam launcher (pelancar rasuk) iaitu di Kuantan bagi Sungai Kuantan dan di Temerloh bagi kerja di Sungai Pahang dengan kita menjangkakan jambatan boleh disiapkan hujung tahun ini atau awal 2024," katanya.

Bagi kerja penembusan Terowong Berkembar Genting yang akan menjadi terowong rel terpanjang di Asia Tenggara apabila siap kelak, Khairi Khalid berkata setakat ini kerja pengorekan terowong yang merentasi Banjaran Titiwangsa itu telah mencapai lebih 2.5 km bagi setiap satu terowong.

Kerja pengorekan terowong itu yang menggunakan mesin tunnel boring machine (TBM) atau mesin pengorek terowong, berbanding kaedah gerudi dan letup seperti terowong lain, bermula Jun lepas dan dijangka siap pada suku kedua 2025.

-- BERNAMA