KUALA LUMPUR: Sasaran pemberian 200,000 dos vaksin sehari, seperti yang disuarakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, diyakini boleh dicapai dengan pembabitan pengamal perubatan swasta.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, Dr Anas Alam Faizli berkata, perancangan teliti bagaimanapun tetap diperlukan bagi memastikan pemberian vaksin itu selaras dengan jumlah bekalan yang ada.

"Sasaran 200,000 dos itu boleh dicapai dengan adanya kerjasama bersama pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan mega di bawah Badan Bertindak Imunisasi COVID-​19 (CITF), MOSTI dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"PPV Pengamal Perubatan swasta sahaja daripada fasiliti sendiri dan di PPV Mega akan menyumbang kira-kira 80,000 dos sehari menjelang 30 Jun, jadi angka 200,000 tidaklah mustahil.

"Apapun perancangan teliti diperlukan bagi memastikan vaksin yang diberi selaras dengan bekalan. Ini bermakna, tiada vaksin dalam peti sejuk, semua vaksin yang sampai akan terus digunakan," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.

Beliau juga berpuas hati dengan tahap penerimaan vaksin dalam kalangan masyarakat di Malaysia sejak kebelakangan ini.

"Penerimaan terhadap vaksin memang semakin baik sejak akhir-akhir ini. Sebelum ini, ramai yang ambil sikap tunggu dan lihat.

"Tetapi selepas 100 hari, lebih 3 juta dos vaksin telah diberikan, sentimen dan penerimaan orang ramai semakin positif.

"Ditambah pula dengan kajian-kajian terkini berkenaan vaksin dan kelulusan yang diberikan oleh pelbagai agensi, meyakinkan mereka untuk mengambil vaksin," ujarnya.

ProtectHealth telah dilantik sebagai pelaksana penglibatan pengamal perubatan swasta oleh KKM.

Ia menggunakan dua kaedah iaitu pemberian vaksin di fasiliti swasta masing-masing, seperti klinik atau hospital, dan kehadiran pengamal perubatan swasta di PPV mega seperti di WTCKL dan UKM.

Negara mempunyai lebih 9,000 fasilti kesihatan swasta dengan 2,600 berdaftar dengan ProtectHealth.