ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa aktiviti pembalakan tidak boleh dianggap sebagai satu-satunya punca berlakunya banjir di negara ini.

Menurut beliau, terdapat juga beberapa faktor lain yang memungkinkan berlakunya bencana itu termasuk taburan hujan luar biasa seperti yang berlaku di kawasan kaki Gunung Jerai, Ogos lalu.

Tegasnya, orang ramai perlu merujuk kepada data, fakta serta maklumat sebenar mengenai pembalakan dan alam sekitar daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi mengelak salah faham.

Beliau berkata, makin mengeruhkan keadaan, ada dalam kumpulan masyarakat lebih mempercayai apa sahaja persepsi yang disebarkan melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok.

BACA SEMUA MENGENAI BANJIR DI SINI

Tambah Sanusi, mana-mana aktiviti pembalakan di negara ini sememangnya dikawal dengan amat ketat berlandaskan undang-undang antarabangsa seperti Protokol Geneva dan Deklarasi Rio.

"(Sebagai contoh seperti) di Titi Hayun, Yan (Ogos lalu), kita dapat fakta daripada Jabatan Mateorologi hujan (yang sepatutnya turun) dalam masa satu setengah bulan, turun dalam masa enam jam (sahaja).

"Maka air melimpah, pokok hanyut, batu besar hanyut, sama (seperti) di Selangor, hujan begitu banyak turun dalam masa yang singkat jadilah banjir, jadi jangan (cakap) semua banjir (yang berlaku ada kaitan) dengan balak,

"Mungkin ada sikit (kes) yang menyumbang (terutama) apabila kayu berkurang, (dan) ia tak dapat serap air yang banyak, tapi kalau kayu banyak, air (pun) banyak dekat situ, tidak sempat nak sedut jugak, jadi bukanlah semua faktor banjir ini disebabkan faktor pembalakan, jadi (kita) kena jelaskan pandangan orang awam (ada juga sebab-sebab lain)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian (MoA) antara Menteri Besar Kedah Incorporated, Universiti Sains Malaysia, Permodalan Kedah Berhad, Hayun Land Sdn Bhd, Kedah Agro Holdings Bhd dan MHC Trading di Wisma Darul Aman, pada Khamis.