JOHOR BAHRU: Pembangkang Johor hari ini menolak Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan sebaliknya menawarkan 'Komitmen Kestabilan' bagi memastikan kerajaan negeri dapat memberi tumpuan terhadap kebajikan rakyat dan usaha memulihkan ekonomi.

Menurut kenyataan bersama Parti Amanah Negara, PKR, DAP dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang dikeluarkan hari ini, pelaksanaan PRN di negeri itu adalah satu tindakan yang tidak munasabah dan tidak mengutamakan kepentingan rakyat serta negeri.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang Johor yang juga Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Johor PKR Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

Menurut kenyataan itu anggaran kos sebanyak RM150 juta yang diperlukan untuk membiayai PRN Johor merupakan satu pembaziran yang sangat besar daripada kerajaan.

"Blok pembangkang di negeri ini telah memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap kerajaan pimpinan Datuk Hasni Mohammad (Menteri Besar) meskipun dengan perbezaan majoriti hanya satu kerusi di Dewan Undangan Negeri.

"(Justeru), blok pembangkang telah bersepakat untuk bersama-sama menawarkan Komitmen Kestabilan," menurut kenyataan bersama itu.

Semalam, Hasni dilaporkan sebagai berkata meskipun belum ada perbincangan mengenai mengadakan PRN Johor di peringkat UMNO Johor, pihaknya tidak pernah menolak keperluan untuk mengadakan PRN disebabkan faktor kestabilan kerajaan negeri yang kini mempunyai majoriti tipis.

Selepas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas Datuk Osman Sapian pada 21 Dis lepas, kerajaan negeri yang dipimpin Barisan Nasional kini mempunyai 28 kerusi manakala Pakatan Harapan 27 kerusi.

-- BERNAMA