KUALA LUMPUR: Pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 mengenai larangan wakil rakyat bertukar parti yang dijadual esok dianggap satu sejarah baharu politik negara, dengan ramai Ahli Parlimen pembangkang turut menyatakan komitmen untuk menyokongnya.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata walaupun ada peruntukan yang disifatkan belum sempurna, ia boleh dianggap satu permulaan yang baik.

"Ini adalah permintaan kami , ia hasil MoU (memorandum persefahaman) yang kita persetujui dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), sudah tentu kita akan sokong," katanya kepada Bernama selepas majlis libat urus Ahli Parlimen pembangkang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di bangunan Parlimen hari ini.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban yakin dengan komitmen yang ditunjukkan oleh rata-rata Ahli Parlimen blok pembangkang, rang undang-undang itu akan meraih sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Sementara itu Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata rang undang-undang itu dianggap sebagai asas baharu dalam politik Malaysia pada masa akan datang.

Beliau berkata lebih mengembirakan adalah apabila segala input dalam rang undang-undang itu dibincang dan dipersetujui bersama oleh kedua pihak kerajaan dan pembangkang serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas rang undang-undang itu.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil pula berkata pembangkang akan memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk menyokong rang undang-undang itu.

"Setinggi ucapan terima kasih juga kepada YB (Yang Berhormat) Wan Junaidi kerana dengan usaha gigih beliau menjadikan rang undang-undang ini satu kenyataan.

"Dengan usaha ini juga satu sejarah bakal tercipta apabila rang undang-undang ini diluluskan nanti," katanya.

Semalam Wan Junaidi mempengerusikan sesi libat urus rang undang-undang itu bersama Ahli Parlimen kerajaan.

Rang undang-undang itu dijangka dibentang oleh Perdana Menteri esok dan akan digulung pada hari berikutnya oleh Wan Junaidi.

-- BERNAMA