NATIONAL
Pembangkang mahu Sidang Khas 5 Mei jadi medan kumpul idea tangani tarif AS

Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia beri jaminan blok Perikatan Nasional (PN) akan melontarkan idea untuk pertimbangan kerajaan pada Sidang Khas Dewan Rakyat 5 Mei ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sidang Khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 5 Mei akan datang diharapkan menjadi medan terbuka bagi semua pihak untuk melontarkan pandangan dalam menangani tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia.
Ringkasan AI
- Forum Konsultasi Terbaik: Sidang Khas ini diharapkan menjadi medan terbuka bagi semua pihak, termasuk kerajaan dan pembangkang, untuk melontarkan pandangan dalam menangani tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat kepada Malaysia.
- Komitmen Kerajaan: Sidang Khas ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam perbincangan mengenai isu tarif, dengan harapan mencapai kata sepakat dan solusi yang strategik.
- Harapan Perbincangan Konstruktif: Terdapat harapan agar Sidang Khas ini membuahkan perbincangan yang konstruktif dan matang, bukan sekadar menjadi medan pertelingkahan politik, demi memastikan Malaysia dapat menangani isu tarif dengan baik.
Oleh itu, Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid memberi jaminan blok Perikatan Nasional (PN) akan melontarkan idea untuk pertimbangan kerajaan.
“Isu tarif ialah isu merentasi parti. Ia isu parti; kerajaan dan pembangkang, penjawat awam dan ahli perniagaan, perlu berganding bahu memikirkan solusi dan rancangan bagi memastikan Malaysia dapat tangani masalah ini dengan strategik, baik dan pintar.
"Perikatan Nasional (PN) pastinya akan utarakan pandangan dan cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan. Hasil kumpulan idea-idea yang bernas itu, Malaysia boleh keluar daripada kenaikan tarif ini dengan daya tahan ekonomi tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Pada masa sama, Exco Angkatan Muda KeADILan (AMK), Arshad Hassni pula berkata, Sidang Khas ini merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan sebarang perbincangan mengenai isu tarif melibatkan semua pihak berkepentingan.
“Saya fikir apabila kerajaan panggil satu sidang khas, ia satu isyarat kepada rakyat bahawa kerajaan ambil serius isu tarif ini dengan menjemput pihak pembangkang untuk duduk bersama-sama di parlimen bagi capai kata sepakat untuk keluar daripada kemelut ini.
“Saya fikir susulan daripada sidang khas ini akan ada lebih banyak komunikasi dan rundingan yang akan dikongsikan,” ujarnya.
Bagi Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub pula, Sidang Khas ini diharapkan benar-benar membuahkan perbincangan yang konstruktif, bukan sekadar menjadi medan pertelingkahan wakil-wakil rakyat.
“Saya berbesar hati jika Sidang Khas Dewan Rakyat pada 5 Mei digunakan dengan sebaiknya untuk membincangkan pelan-pelan dan cadangan-cadangan yang bernas daripada kedua-dua pihak.
“Permulaan sidang itu tidaklah dimulakan dengan pendekatan terpekik dan terlolong seperti yang kita lihat dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini. Pada saya, perlu gunakan ruang ini untuk memperlihatkan kematangan dan ketepikan perbezaan politik,” katanya.
Pada 22 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Sidang Khas Dewan Rakyat pada 5 Mei akan menyentuh secara khusus mengenai isu tarif AS yang kini berbangkit.
Dialog Tiga Penjuru: Isu tariff AS, bawa ke Sidang Khas Dewan Rakyat
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami