BENTONG: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan pembangunan semula Kampung Baru Karak di sini, dikaji secara lebih menyeluruh dan holistik.

Baginda bertitah, seluruh kawasan Kampung Baru Karak yang terlibat dengan kebakaran pada 1 Oktober lalu juga harus dikaji semula dari aspek keselamatan pada masa akan datang.

Al-Sultan Abdullah bertitah, antara penekanan yang harus dikaji secara terperinci ialah jarak antara rumah yang sedia ada terlalu dekat, memperluaskan sistem longkang dan saliran, bekalan elektrik yang mencukupi selain kegunaan pili bomba pada waktu kecemasan.

“Ini akan memberi sedikit sebanyak berita baik kepada semua mangsa kebakaran untuk mempunyai keyakinan iaitu kita dapat bangkit daripada musibah ini. Insya-Allah bila projek ini dapat disiap dalam masa terdekat,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli menyantuni mangsa kebakaran di Dewan Jawatankuasa
Keselamatan dan Kemakmuran Kampung Baharu di Kampung Baru Karak pada Jumaat.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Datuk Abd Rahim Muda; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula Rumah Kampung Baru Karak, Datuk Sri Liow Tiong Lai; dan Pegawai Daerah Bentong, Datuk Mohd Zulkifli Hashim.

Baginda berdua kemudiannya mencemar duli mendengar sembah taklimat cadangan pembangunan semula Kampung Baru Karak oleh Tiong Lai serta menyaksikan penyerahan sumbangan cek daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia, IINFRA Sdn. Bhd. dan Datuk Nelson Tan,berjumlah bernilai RM1.18 juta.

Kebakaran yang berlaku pada 1 Oktober lalu telah memusnahkan kira-kira 48 buah rumah dan lapan buah kedai melibatkan kira kira seramai 150 individu.